BTS Media

Covid-19: Dos penggalak kedua dibenarkan untuk individu berumur 50-59 tahun

GAMBAR ATAS: BTS Media.

 

Oleh Fetty Rara

BERIKUTAN lonjakan kes Covid-19 baru-baru ini, Putrajaya membenarkan suntikan penggalak vaksin kedua untukindividu berumur 50 hingga 59 tahun tanpa sebarang komorbid, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ini sebahagian daripada cadangan jawatankuasa kerja teknikal di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebelum ini, penggalak kedua hanya dibenarkan untuk individu berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi dan akan ke luar negara.

Khairy yang berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini (19 Julai) juga berkata individu berumur 60 tahun ke atas tanpa komorbiditi boleh mendapatkan dos penggalak kedua atas nasihat doktor.

Menurut beliau dos penggalak kedua juga diperluaskan kepada individu yang tinggal di fasiliti penjagaan kesihatan jangka panjang, individu berisiko tinggi berumur 18 hingga 59 tahun, dan petugas barisan hadapan Covid-19.

Beliau berkata KKM sedang mempertimbangkan penggunaan vaksin generasi kedua baharu sekiranya mendapat kelulusan daripada badan kawal selia kesihatan.

“Jika (vaksin ini) berguna dan selamat … untuk varian seperti Omicron, mungkin pemerolehan boleh dipertimbangkan pada masa hadapan.

“Buat masa ini, kami telah memperluaskan penggunaan (ubat antivirus oral) Paxlovid ke daerah dan juga negeri,” katanya.

Khairy berkata sehingga Isnin (18 Julai), 225,848 individu telah menerima penggalak vaksin kedua mereka.

Beliau berkata jumlah yang layak untuk penggalak kedua ialah 2,519,761, kebanyakannya warga emas yang menerima suntikan penggalak pertama empat bulan atau lebih awal.

Putrajaya tidak mengenakan sebarang denda kepada individu yang melanggar SOP Covid-19 sejak April, memandangkan Malaysia sedang beralih ke fasa endemik.

“Kami menjalankan lebih banyak penguatkuasaan berasaskan pendidikan,” kata Khairy sambil menyatakan bahawa Malaysia memasuki tahun ketiga penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, bagaimanapun, Putrajaya mungkin mempertimbang untuk mengetatkan SOP sekiranya kes terus meningkat.

“Saya berharap rakyat secara sukarela memakai pelitup muka tanpa sebarang bentuk penguatkuasaan,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment