GAMBAR ATAS: Aziz A. Shariff.
Oleh Zainal AS Rashid
Dos penggalak vaksin Covid-19 kedua adalah secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kata Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Datuk Dr Anas Alam Faizli.
Beliau berkata perkembangan itu dialu-alukan dan tujuan dos penggalak kedua adalah untuk memastikan tahap perlindungan optimum dalam kalangan warga emas dan individu berisiko tinggi, kerana mereka merupakan kumpulan paling terdedah.
Menurut beliau adalah penting untuk terus melindungi orang ramai dalam masa peralihan ke fasa endemik.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat (15 April) beliau menasihatkan individu berisiko tinggi agar mendapatkan perlindungan diri lebih baik dengan cara mendapatkan dos penggalak kedua.
Beliau merujuk kepada penyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 14 April bahawa individu berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai komorbiditi kini boleh mendapatkan dos penggalak kedua empat hingga enam bulan selepas menerima dos penggalak pertama.
Turut digalakkan, golongan remaja berumur 12 tahun yang mengalami beberapa keadaan seperti mana disenaraikan oleh Kementerian Kesihatan.
Tambah beliau lagi, warga emas yang sihat dan berumur 60 tahun ke atas tanpa komorbiditi tinggi hanya boleh memilih dos penggalak kedua atas nasihat pakar perubatan.
Vaksin untuk dos penggalak kedua ialah vaksin Pfizer-BioNTech (mRNA Comirnaty) Covid-19.
Beliau berkata keputusan untuk pemberian dos penggalak kedua dibuat berdasarkan kajian saintifik.
Kementerian Kesihatan juga membenarkan individu dewasa yang merancang untuk ke luar negara mendapatkan dos penggalak kedua sekurang-kurangnya sebulan selepas dos penggalak pertama, bagi memenuhi syarat negara yang dituju, tanpa mengira profil risiko individu.
Warga emas yang mendapat vaksinasi utama dan dos penggalak, tetapi masih dijangkiti Covid-19 boleh memohon untuk mendapatkan dos penggalak kedua tiga bulan setelah pulih.
-BTS Media