GAMBAR ATAS: BTS Media.
Oleh Yusoff A. Shariff
Individu berumur 60 tahun ke atas yang memenuhi syarat dos penggalak kedua vaksin Covid-19 mula menerima pautan janji temu (melalui aplikasi MySejahtera) secara berperingkat mulai semalam (Jumaat 22 April).
Menteri Kesihatan Jamaluddin berkata mereka antara tiga kategori yang layak menerima dos tambahan vaksin Covid-19.
Ia juga termasuk individu dewasa berumur 18 tahun dan ke atas yang melakukan perjalanan ke luar negara.
Mereka perlu mendapatkan suntikan penggalak kedua sebagai sebahagian daripada keperluan negara yang dituju.
Kumpulan terakhir layak untuk penggalak kedua ialah remaja yang mengalami gangguan imun sederhana dan teruk berumur 12 hingga 17 tahun yang lengkap dos-dos permulaan mereka.
Dalam kenyataan pada Jumaat, Khairy berkata individu layak berumur 60 tahun ke atas adalah mereka yang telah menerima dos penggalak pertama sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan lalu.
Bagi individu berumur 60 tahun ke atas yang telah lengkap mendapat dos penggalak permulaan dan kemudian dijangkiti Covid-19, mereka layak menerima dos penggalak kedua tiga bulan selepas pulih sepenuhnya.
Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Malaysia
Mekanisma Pelaksanaan Pemberian Dos Penggalak Kedua Bagi Warga Emas Berumur 60 Tahun Dan Ke Atas, Dos Tambahan Bagi Remaja Yang Berisiko Tinggi Dan Pemberian Dos Penggalak Kedua Bagi Individu Yang Ingin ke Luar Negara pic.twitter.com/CDDGEkJ7qZ
— KKMalaysia🇲🇾😷 (@KKMPutrajaya) April 22, 2022
Khairy berkata dos penggalak kedua Pfizer-BioNTech (Comirnaty) adalah untuk individu berisiko tinggi berumur 60 tahun ke atas, termasuk pesakit yang menghidap penyakit pernafasan kronik; penyakit jantung dan vaskular kronik; penyakit buah pinggang kronik; penyakit hati kronik dan penyakit saraf kronik.
Individu yang tergolong dalam kategori ini akan diberi janji temu melalui MySejahtera atau mendapatkan suntikan tanpa janji temu terus di mana-mana pusat vaksinasi (PPV).
Mereka juga boleh mendapatkan suntikan di hospital swasta dan kerajaan yang berfungsi sebagai PPV.
Suntikan juga akan diberikan kepada penghuni rumah jagaan warga emas melalui program outreach.
Dalam pada itu, individu sihat berumur 60 tahun ke atas perlu berbincang dengan doktor terlebih dahulu jika ingin mendapatkan dos penggalak kedua.
Sementara itu, remaja berumur 12 hingga 17 tahun dalam kategori imuniti sederhana, teruk dan telah disahkan oleh doktor kerajaan atau swasta layak menerima dos tambahan.
Mereka boleh menerima dos tambahan sekurang-kurangnya 28 hari selepas menerima dua dos utama, manakala individu lengkap dos utama dan telah disahkan positif Covid-19 pula layak menerima dos tambahan selepas tiga bulan sembuh penuh.
Remaja sedang menjalani rawatan di hospital kerajaan, hospital swasta, klinik pakar kanak-kanak swasta dan klinik kesihatan dengan pakar yang dijadikan PPV boleh diberi dos tambahan secara di fasiliti kesihatan tersebut.
Beliau juga berkata individu berumur 18 tahun ke atas yang ingin ke luar negara boleh menerima dos penggalak kedua selepas sekurang-kurangnya sebulan daripada tarikh dos penggalak pertama bagi memenuhi keperluan negara destinasi.
Mereka boleh terus masuk tanpa janji temu ke mana-mana PPV dengan membawa dokumen sokongan (seperti tiket penerbangan atau dokumen perjalanan),” katanya.
-BTS Media