BTS Media

Stok ubat KKM akan dihantar ke hospital swasta, klinik mengalami kekurangan bekalan

GAMBAR ATAS: Wikimedia Commons.

 

Oleh Fetty Rara

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju untuk melepaskan stok perubatan persekutuan kepada hospital dan klinik swasta yang menghadapi kekurangan bekalan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, keputusan yang berkuat kuasa serta-merta itu dibuat selepas mesyuarat pada Khamis (14 Julai) antara pihak berkepentingan dan kementerian.

“Pharmaniaga Bhd menguruskan stok simpanan, dan saya telah mengarahkan ubat-ubatan itu dikeluarkan ke hospital dan klinik swasta yang menghadapi masalah kekurangan.

“Kekurangan ubat batuk, selesema, demam dan ubat-ubatan kanak-kanak terus berlarutan di fasiliti kesihatan,” katanya kepada media pada bengkel Memperkasakan Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Autisme di sini pada Jumaat (15 Julai).

Menurut Khairy, punca kekurangan boleh dikaitkan dengan antara lain, permintaan tinggi melebihi jangkaan, dan peningkatan penyakit seperti influenza (ILI).

Beliau berkata ‘lockdown’ di China dan isu geo-politik di Ukraine turut menyumbang kepada kekurangan dan bekalan ubat-ubatan.

Khairy menjangkakan isu bekalan akan stabil pada suku ketiga tahun ini.

-BTS Media

Leave a Comment