Oleh Fetty Rara
KIRA – kira 380 orang jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada Jumaat pagi (8 Julai) dipercayai telah ditipu oleh agensi pelancongan.
Para jemaah yang berkumpul di Aras 5, Dewan Berlepas KLIA itu, dikatakan memegang Furada atau Visa Haji swasta untuk menunaikan ibadah haji mereka tanpa melalui Lembaga Tabung Haji.
Visa furada adalah visa persendirian yang dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa melibatkan kuota diperuntukkan kepada Tabung Haji.
Menurut seorang jemaah yang hanya mahu dikenali sebagai Adi, agensi pelancongan itu telah meminta kumpulan pengendalian mereka supaya berada di KLIA pada Khamis (7 Julai), kerana penerbangan itu dijangka berlepas pada 4.30 petang, tetapi mereka kemudian dimaklumkan ia telah ditangguhkan ke 7.00 malam lapor The Star.
Dia berkata setelah diperiksa, mereka mendapati bahawa penerbangan terakhir ke Jeddah, Arab Saudi adalah pada kira-kira pukul 6.00 petang hari ini, dan setakat ini mereka belum menerima maklumat daripada wakil agensi pelancongan itu.
Mengikut perancangan awal, dia berkata mereka sepatutnya berlepas ke Jeddah pada Selasa lepas (5 Julai), tetapi ini juga ditangguhkan atas alasan beberapa dokumen masih tidak lengkap.
Beliau berkata jemaah dalam kumpulan itu tidak pernah ditunjukkan tiket penerbangan dan visa mereka untuk menunaikan haji.
Sehingga kini mereka belum mendapat balik pasport yang dipegang oleh pihak agensi. Seorang jemaah dari Terengganu berkata dia telah membayar sebanyak RM76,000 untuk pakej haji bersama suaminya.
Ketua polis KLIA Imran Abd Rahman berkata pihaknya masih mengambil keterangan daripada agensi berkenaan.
-BTS Media