KERAJAAN digesa untuk menetapkan paras keuntungan yang boleh diambil oleh pengeluar ayam dan bukannya menetapkan harga runcit di pasaran.
Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee harus mengelak daripada dilihat mendominasi pemikiran kapitalisme yang mengambil hak rakyat.
“Kesannya akan menjadi punca kepada segala kerosakan dan juga menyebabkan berlakunya krisis,” katanya dalam satu kenyataan.
Mahathir juga berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu segera melakukan analisis menyeluruh terhadap rantaian pembekalan dan juga kepada Rantaian Keuntungan Perkhidmatan industri bekalan ayam negara.
Beliau berkata MAFI juga perlu meneliti dasar-dasar yang dapat meningkatkan penawaran ayam.
“Sebagai contohnya, pihak kerajaan boleh memberi insentif kepada penjual makanan ayam supaya merendahkan kos bagi membela ayam.
“Sekiranya penawaran melebihi permintaan, rakyat dapat menikmati harga ayam yang rendah,” katanya.
Tambahnya, fokus utama adalah untuk mencari di mana sebenarnya punca kenaikan harga tersebut itu berlaku.
Katanya, ini berikutan kenaikan harga itu tidak jelas dan kerajaan juga tidak dapat memberikan satu maklumat yang tepat kepada rakyat mengapa kenaikan harga ayam ini berlaku.
Tegasnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan MAFI harus lebih serius dalam usaha memastikan bekalan serta harga produk pertanian stabil bagi mengekang kenaikan harga.
“Apa yang membimbangkan adalah, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, jagung, bijirin, sayur-sayuran, dan buah-buahan yang menjadi keperluan asas setiap individu di atas muka bumi ini.
“Ronald Kiandee perlu memanfaatkan kedudukan beliau sebagai Menteri Pertanian dengan berfikiran secara kreatif dan kritis seperti pemimpin-pemimpin terdahulu dengan mewujudkan dasar pertanian baharu seperti (FELDA) dan (FELCRA), bagi memberi peluang dan galakan kepada rakyat miskin dan tidak berkemampuan untuk bertani dengan memberikan tanah lahan secara percuma, subsidi dan apa juga bantuan kepada mereka,” katanya.
Beliau juga berkata dalam jangka masa yang panjang, negara memerlukan simpanan dan bekalan makanan yang berterusan bagi memastikan rakyat di negara ini tidak mengalami masalah kekurangan makanan yang boleh menyebabkan peningkatan harga barang.
Katanya, peningkatan kadar jenayah akibat kekurangan sumber makanan dan kadar inflasi yang tinggi.
“Apabila kita berada pada suatu tahap di mana kita mempunyai kuasa untuk menentukan dasar yang terbaik untuk negara, lakukanlah dengan sehabis baik kerana dengan setiap tindakan kita itulah yang akan mencorakkan baik dan buruk nasib masa hadapan nusa dan bangsa,” katanya.