BTS Media

Pesta Kopi Extended kembali atas permintaan ramai

ATAS: Pesta Kopi yang akan diadakan pada 1 – 3 Julai ini kembali atas permintaan ramai.

 

Oleh Khadijah Ibrahim

SELEPAS sambutan luar biasa peminat kopi kepada acara Kopi KL dan Pesta Kopi Melaka, sekali lagi Pesta Kopi kembali atas permintaan ramai.

Kali ini penganjuran lebih besar dan banyak aktiviti menarik akan diadakan sepanjang acara berlangsung. Acara Pesta Kopi Extended 2022,  akan diadakan selama tiga hari pada 1- 3 Julai 2022, di The Curve, Mutiara Damansara.

Acara Pesta Kopi Extended 2022,  dianjurkan oleh TF Studio dengan kerjasama The Curve sebagai rakan strategik lokasi dan Mister Coffee selaku rakan strategik utama.

Cabaran Barista Terpantas, cepat buat pendaftaran untuk menyertainya.

Mengekalkan konsep asal Pesta Kopi, Pesta Kopi Extended akan menghimpunkan 40 usahawan kopi tempatan dari seluruh negara untuk memperkenalkan produk minuman kopi masing-masing serta menunjukkan pelbagai cara dan seni penyediaan kopi mereka.

Antaranya adalah usahawan kopi dari Johor Bahru, Kota Bharu, Melaka, Alor Setar dan Cameron Highlands serta turut dimeriahkan oleh usahawan kopi dari Selangor dan Kuala Lumpur.

Secara ringkasnya, Pesta Kopi Extended ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Usahawan Food Truck,  Usahawan Kopi Jalanan (Street Vendor) dan pembekal peralatan dan bahan penyediaan kopi untuk pengunjung yang punya cita-cita untuk menjadi usahawan kopi.

Bagi yang ingin menyertai cabaran barista terpantas, jangan lupa buat persediaan awal di rumah.

Acara kali ini akan lebih menonjolkan ‘coffee culture’ kepada orang ramai. Pengunjung bukan sahaja dapat menikmati pelbagai produk kopi yang dijual, mereka juga dapat melihat sendiri pelbagai cara penyediaan kopi serta peralatan yang digunakan untuk penyediaan kopi yang mampu dimiliki dan diguna sendiri di rumah.

Antara aktiviti yang pastinya akan menarik perhatian pengunjung adalah demonstrasi dan tutorial cara-cara menghasilkan Seni Latte, tutorial pelbagai kaedah penyediaan kopi, demonstrasi menggunakan alat-alat penyediaan kopi dan pertandingan Barista Terpantas.

Kesemua aktiviti tersebut dibuka untuk orang ramai menyertai dan mengalaminya sendiri. Selain dari aktiviti ini, terdapat juga Pertandingan Menyediakan Kopi Paling Kreatif serta Cabutan Bertuah untuk pengunjung. Semua aktiviti ini akan diadakan di Pentas Utama.

Orang ramai yang berkunjung akan diajar untuk mengenali pelbagai jenis biji kopi, perbezaan sifat setiap jenis biji kopi dan cara-cara penyediaan kopi yang sesuai mengikut jenis biji kopi tersebut.

Bukan setakat dapat mengenali pelbagai jenis kopi di pesta tersebut, mereka yang menyertai pertandingan akan mendapat hadiah.

Objektif utama Pesta Kopi Extended, bukan sahaja untuk mempamerkan kopi sebagai trend gaya hidup semasa tapi juga mahu memperlihatkan seni penyediaan kopi artisan sebagai peluang perniagaan yang menjadi pilihan ramai anak muda sekarang.

Pesta Kopi Extended ini turut mendapat sokongan dan tajaan dari Rakan Strategik lain seperti DaVinci Gourmet, MN Coffee dan Rimba In Town dan Magnolia.

Ini adalah Pesta Kopi terakhir anjuran TF Studio untuk tahun 2022. Acara Pesta Kopi selepas ini akan menjadi acara tahunan sahaja bagi menjaga kualiti penganjuran serta pengalaman pengunjung yang hadir ke Pesta Kopi.

-BTS Media

Leave a Comment