GAMBAR ATAS: Aziz A. Shariff
Oleh Zainal AS Rashid
Pelbagai kajian menunjukkan bahawa kopi mempunyai beberapa manfaat kesihatan, tetapi tidak semestinya langsung tiada kemudaratan – kebanyakannya disebabkan oleh kafein.
Kopi mungkin menawarkan beberapa perlindungan terhadap:
- Penyakit Parkinson
- Diabetes jenis 2
- Penyakit hati, termasuk kanser hati
- Serangan jantung dan strok.
Purata individu dewasa di Amerika Syarikat minum kira-kira dua cawan kopi 8oz (237ml) setiap hari, yang boleh mengandungi sekitar 280mg kafein.
Bagi kebanyakan individu dewasa muda yang sihat, kafein secara amnya tidak menjejaskan paras gula darah dengan ketara.
Oleh itu, secara purata, meminum kopi dengan kandungan sehingga 400mg kafein setiap hari dianggap selamat.
Bagaimanapun, kesan kafein didapati berbeza bagi setiap individu.
Menurut pakar di Mayo Clinic, Amerika Syarikat, bagi yang menghidap diabetes, kesan kafein ke atas insulin mungkin dikaitkan dengan paras gula darah yang lebih tinggi atau lebih rendah.
Bagi sesetengah individu yang menghidap diabetes, kira-kira 200mg kafein – bersamaan dengan satu hingga dua cawan 8oz (237ml) kopi– boleh menyebabkan kesan ini.
Jika seseorang itu menghidap diabetes atau anda sedang bergelut mengawal paras gula adalah disyorkan supaya kadar kafein dalam diet dikawal. Sama juga dengan kesan kafein pada tekanan darah.
Reaksi tekanan darah terhadap kafein berbeza dari individu ke individu. Kafein boleh menyebabkan tekanan darah naik seketika atau peningkatan yang serius walaupun seseorang itu tidak mempunyai tekanan darah tinggi.
Tidak jelas apa yang menyebabkan lonjakan tekanan darah ini.
Sesetengah penyelidik percaya bahawa kafein boleh menyekat hormon yang membantu kelebaran arteri kita.
Ada juga yang berpendapat kafein menyebabkan kelenjar adrenal kita mengeluarkan lebih banyak adrenalina, justeru mencetuskan tekanan darah tinggi.
Bagi sesetengah individu yang kerap minum minuman berkafein didapati mempunyai purata tekanan darah harian yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak minum, tetapi sebaliknya individu lain yang kerap minum minuman berkafein mempunyai ketahanan, lapor Tribune News Network.
Jika anda menghidap tekanan darah tinggi, tanya doktor sama ada perlu mengehadkan atau berhenti minum minuman berkafein.
Menurut Pentadbiran Makanan dan Dadah AS (FDA) kadar 400mg kafein sehari secara amnya selamat untuk kebanyakan orang. Bagaimanapun, jika anda bimbang tentang kesan kafein pada tekanan darah, cuba hadkan kadar yang diminum kepada 200mg sehari – kira-kira kadar sama seperti biasanya, iaitu satu hingga dua cawan 8oz (237ml) kopi.
Perlu diingat bahawa kandungan kafein dalam kopi, minuman tenaga dan minuman lain berbeza mengikut jenama dan kaedah penyediaan.
Selain itu, jika anda menghidap tekanan darah tinggi, segera elakkan kafein sebelum aktiviti yang secara semula jadi akan meningkatkan tekanan darah anda, seperti senaman atau aktiviti fizikal yang berat.
Ini amat penting jika anda berada di luar rumah dan menggunakan banyak tenaga.
Untuk mengetahui sama ada kafein boleh meningkatkan tekanan darah anda, periksa tekanan darah sebelum meminum secawan kopi atau minuman berkafein lain, dan kemudian sekali lagi 30 hingga 120 minit selepas itu.
Jika tekanan darah anda meningkat kira-kira lima hingga 10 mmHg, anda mungkin sensitif terhadap keupayaan kafein untuk meningkatkan tekanan darah.
Wanita yang hamil, cuba hamil atau menyusukan bayi juga perlu berhati-hati dengan kafein.
Meminum kopi bancuhan yang tidak ditapis dengan banyak telah ada kaitam dengan peningkatan sederhana dalam paras kolesterol.
Juga, beberapa penyelidik mendapati bahawa wanita menopaus yang kerap minum minuman berkafein, seperti kopi, teh atau minuman ringan, mengalami gejala vasomotor yang lebih mengganggu, seperti tubuh kepanasan, berbanding wanita menopaus lain yang tidak mengambil minuman berkafein.
Perlu diingat bahawa kandungan kafein sebenar dalam secawan kopi atau teh adalah berbeza, kerana faktor -cara penyediaan.
-BTS Media