BTS Media

Kembara ada semangat ‘kuasa kuda’ untuk konsert 31 Julai

GAMBAR ATAS: Kumpulan Kembara terkenal dengan lagu-lagu rakyat dan perjuangan mereka menerusi seni.

 

Oleh Khadijah Ibrahim

KALI terakhir kumpulan Kembara mengadakan konsert di Kuala Lumpur adalah pada 2014. Dalam jarak lapan tahun itu pasti peminat Kembara merindui untuk menonton semula persembahan mereka secara langsung.

Bagi mengimbau kembali nostalgia kumpulan yang sinonim dengan lagu-lagu rakyat serta perjuangan mereka itu, Shiraz Projects Sdn. Bhd., memikul tanggungjawab melunaskan kerinduan tersebut.

Peminat Kembara berpeluang menonton Konsert Kembara Panorama Jingga:1444 Hijrah pada 31 Julai 2022 bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Bakal bermula pada pukul 8.30 malam, konsert yang menghimpunkan tenaga dan kehebatan Datuk M.Nasir (vokal), Zoul (gitar utama, vokal), Rahman Suri (bes), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard) itu akan turut membawa penonton ke suatu dimensi masa bersama lagu-lagu berjiwa besar mereka.

Zoul selaku gitaris kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1979 ini,  berkata, semangat mereka kali ini lebih membara.

“Saya merasakan bahawa semangat kami lebih walaupun usia semua sudah agak menjangkau tetapi semangat ‘kuasa kuda’ masih ‘maintain’. Kami betul-betul teruja dengan konsert yang akan datang ini,” katanya.

Usia bukan penghalang kepada anggota Kembara untuk beraksi hebat pada konsert nanti.

Kumpulan Kembara sudah memulakan persiapan sejak dua bulan lepas dan membayangkan bahawa banyak lagu yang akan dimainkan khusus untuk para peminat setia mereka. Pemilihan lagu-lagu untuk konsert kali ini dibayangkan dalam repertoir yang sangat istimewa dan rare!

“Kita banyak nak kena main lagu-lagu yang kita belum pernah mainkan lagi. Jadi praktis kena lebih. Tentang pemilihan lagu yang belum pernah dimainkan, istimewanya kerana lagu-lagu itu dirakamkan lebih 30 tahun.

“Tak disangka bila Kembara semak balik lagu-lagu yang sedia ada, kita sendiri jadi  ‘ehh lagu ni sedap’ dan patut diketengahkan sebelum ini, “ujar mereka bersama.

Buat Shahrum, dia sangat ternanti-nantikan konsert yang akan berlangsung 31 Julai ini kerana sebelum ini tidak dapat beraksi dalam konsert terdahulu.

“Konsert ini saya rasa macam yang terbaik untuk semua kerana konsert yang lepas saya tak dapat main kerana tuntutan kerja. Saya berasa bangga dan akan buat terbaik,” katanya teruja.

Waktu ini Kembara dianggotai oleh M.Nasir, Rahman, Zoul, Md Shah dan Shahrum. Foto diambil di Orchard Road, Singapura sekitar 1984.

Sementara itu,  M.Nasir menyifatkan konsert ini sangat istimewa kerana ia sebagai suara satu generasi.

“Istimewanya konsert ini kerana ia merupakan suara satu generasi. Generasi yang saya maksudkan ialah generasi 80-an. Selain rock muzik yang keras, Kembara membawakan satu muzik yang berbeza iaitu dari segi seni kata.

“Lagu Kembara banyak bertemakan kerakyatan dan itu ciri khas kumpulan kami. Ini bukan muzik lama tapi muzik sekarang. Bila kita buat muzik, kita tidak hanya tuju kepada generasi itu (80-an) sahaja. Dan bentuk muzik akan menjangkau generasi,”terangnya yang juga pengasas kumpulan ini.

M.Nasir adalah vokalis dan pengasas Kumpulan Kembara.

Menurut Shirazdeen Karim selaku Ketua Pengarah Eksekutif Shiraz Projects, sudah lama pihaknya mengimpikan untuk bekerjasama dengan kumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu seperti Hati Emas dan Ekspres Rakyat akhirnya bakal terlaksana juga pada Julai ini.

“Perbincangan dan perancangan konsert ini sudah bermula sebelum pandemik lagi dan kami akur dengan keadaan yang melanda. Untuk tahun ini, kami sangat bersemangat untuk membawakan lagu- lagu Kembara berkumandang di dewan berprestij iaitu Dewan Plenari.

“Pastinya Kembara akan memberikan sebuah persembahan yang bertenaga dengan untaian lagu-lagu mereka yang cukup nostalgik dan ikonik untuk para pendengar,” katanya.

Tiket untuk menonton Konsert Kembara Panorama Jingga:1444 Hijrah dijual pada harga RM860 (Meet and Greet), RM460 (Diamond), RM360 (Platinum), RM260 (Gold), RM200 (Silver) dan RM160 (Bronze) sudah dijual mulai 10 Jun 2022 lalu.

Tiket untuk Konsert Kembara Panorama Jingga:1444 Hijrah dijual sejak 10 Jun lalu.

Peminat-peminat Kembara juga boleh membeli T-shirt eksklusif apabila membeli tiket konsert di laman web www.myticket.asia.

Shiraz Projects mengharapkan para peminat Kembara khususnya akan mendukung konsert ini. Konsert Panorama Jingga 1444 tersebut disifatkan akan mengubat rindu peminat Kembara pada zaman 80-an dan turut memberi peluang kepada generasi baharu untuk mengenali muzik Kembara dengan akrab lagi menerusi persembahan bertenaga mereka kelak.

-BTS Media

Leave a Comment