GAMBAR ATAS: Kim Jae Joong kembali ke Malaysia selepas 12 tahun untuk menjayakan konsert solonya.
Oleh Khadijah Ibrahim
PEMINAT K-Pop pasti rindu nak tengok persembahan artis Korea Selatan secara langsung. Semua sedia maklum, sejak pandemik melanda banyak acara terpaksa ditunda.
Kini konsert K-Pop akan kembali menghangatkan peminat tempatan kerana artis Korea yang bersedia untuk menemui peminat Malaysia ialah Kim Jae Joong.
Kehadiran Kim Jae Joong, ahli kumpulan legenda JYJ ke sini adalah selepas 12 tahun tidak bertemu dengan peminat di negara ini. Kali ini Kim Jae Joong datang untuk menjayakan konsert solo pertamanya, “2022 KIM JAE JOONG Asia Tour Concert in Kuala Lumpur”.
Konsert anjuran iMe MALAYSIA (penganjur di Malaysia) itu akan berlangsung di Dewan Plenary, KLCC pada pukul 7.30 malam, 23 September akan datang.
Kim Jae Joong merupakan artis Korea pertama yang akan mengadakan konsert di Malaysia sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.
Tahun lepas, dia mengadakan konsert solo online “The Last On-Cert” dan untuk menebus kekecewaannya, Kim Jae Joong juga mengadakan “2022 J-Party” dan “J-Jun Thursday Party with Jaefans 2022” di Korea Selatan dan Jepun pada Januari dan Mei lalu.
Konsert-konsert tersebut juga dilangsungkan sebagai tanda permulaan jelajahnya, dan ini telah menimbulkan keterujaan kepada peminat antarabangsa.
Baru-baru ini C-JeS Entertainment mengumumkan bahawa Kim Jae Joong akan memulakan jelajah Asianya dengan konsert pertamanya di Seoul pada 17 dan 18 September. Selain itu, Malaysia dan Thailand juga merupakan salah satu persinggahan dalam jelajahnya.
Kim Jae Joong yang terkenal di seluruh dunia sebagai idola legenda bukan sahaja mahir menyanyi dan menggubah lagu, malah juga terkenal dalam bidang lakonan. Antara drama lakonannya yang mendapat perhatian ramai seperti “Protect The Boss”, “ Dr. Jin”, “Triangle”, “SPY” dan “Manhole”.
Dia memulakan kerjaya pada tahun 2003 di bawah kumpulan TVXQ (juga dikenali sebagai Dong Bang Shin Ki). Pada tahun 2010, Kim Jae Joong meninggalkan TVXQ bersama dua ahli lain (Jun-su dan Yoo-Chun) dan membentuk kumpulan JYJ di bawah C-JeS Entertainment.
Selain daripada aktivitinya di Korea Selatan, Kim Jae Joong juga aktif berpromosi di Jepun dengan mengadakan pelbagai jelajah, mengeluarkan album dan mengambil bahagian dalam pelbagai rancangan realiti sejak dia tamat perkhidmatan ketenteraannya pada tahun 2016.
Pada Mac tahun ini, dia mengeluarkan lagu “Sixth Magnitude Star” bersama ahlinya Kim Jun-su untuk drama Jepun “Waru -Who Said That Working Isn’t Cool?” (terjemahan literal), yang menggembirakan peminat yang telah lama menunggu-nunggu.
Bagi yang ingin menonton persembahan Kim Jae Joong, mulai pukul 12 tengah hari, 24 Jun (Jumaat) tiket konsert boleh dibeli secara dalam talian di www.ticketcharge.com.my pada harga RM787, RM687, RM587, RM487, dan RM387, dan ini tidak termasuk yuran pemprosesan RM4.
Setiap transaksi terhad kepada maksimum enam tiket sahaja. Setiap tiket mempunyai peluang untuk menerima “fan benefit” (dipilih secara rawak berdasarkan kod bar tiket), yang akan diumumkan kemudian. Demi keselamatan dan kebaikan peminat, para hadirin diwajibkan memakai penutup mulut sepanjang konsert.
Untuk maklumat lanjut mengenai tiket dan konsert tersebut, sila layari Facebook, Instagram dan Twitter “iMe MY”.
-BTS Media