GAMBAR ATAS: Siti Nurhaliza bersama presiden Yayasan Metamorphosis, Razalif Mohamad Zain pada sidang media, baru-baru ini.
Oleh Khadijah Ibrahim
BUAT pertama kalinya, penyanyi popular Datuk Seri Siti Nurhaliza akan menghibur kira-kira 450 orang peminatnya dalam kalangan Keluarga Malaysia, B40 yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal dan anak yatim.
Siti yang baru mendapat tahu perkhabaran tersebut melahirkan rasa terkejut dan kagumnya dengan langkah yang diambil oleh Yayasan Metamorphosis yang berusaha untuk memberi keceriaan kepada golongan tersebut.
“Sebenarnya saya baru dapat tahu yang Yayasan Metamorphosis nak hadiahkan pada golongan B40. Saya terkejut dan kagum sebab kebiasaannya yang membeli meja untuk menonton persembahan saya adalah pelbagai peringkat seperti korporat, pelajar dan sebagainya.
“Walaupun konsep persembahan telah ditetapkan ia tak menganggu pun, cuma penonton saja berbeza. Saya rasa lebih relaks sikit. Berhadapan dengan golongan B40 ini buat saya rasa tenang dan relaks saja,” katanya yang tetap akan memberi persembahan bertaraf first class.
Queen Of The Night Siti Nurhaliza itu akan berlangsung pada 6 Ogos ini di Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada pukul 7.00 malam yang dibawakan penganjur projek, B De Paris.
Jelas Siti, untuk persembahan selama satu jam setengah itu, dia akan diiringi oleh lima pemuzik yang diketuai oleh Aubrey Suwito.
Memandangkan pada malam itu konsep persembahan adalah Queen of the Night, Siti memilih untuk mendendangkan lagu penyanyi wanita dari dalam dan luar negara yang memberi inspirasi kepadanya selama ini.
“Bila saya tahu penonton golongan B40, ia akan bertambah lagi kita nak buat apa lagi. Saya akan dendangkan lagu-lagu dendangan penyanyi wanita yang saya kagumi. Lagu-lagu popular daripada mereka dan juga lagu-lagu saya juga.
“Persembahan saya berlangsung selama satu jam setengah dan ada lima pemuzik diketuai oleh Aubrey Suwito, ada penari dan lagu lebih daripada 15 buah. Saya akan memberi persembahan yang terbaik untuk memastikan penonton puas hati,” katanya yang bakal mengadakan persembahan eksklusif pada bulan November nanti.
Sementara itu, Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Razalif Mohamad Zain berkata, pada awalnya pihak, B De Paris datang kepada syarikat korporatnya menjual meja dan dia hanya mahu membeli sebuah meja saja.
“Pada asalnya, pihak kami hanya mahu beli satu meja platinum saja yang berharga RM20,000. Kemudian bila saya berbincang balik dengan board of director yayasan, kita bersetuju untuk beli kesemuanya untuk bagi golongan B40, anak-anak yatim dan ibu tunggal datang pada malam itu menonton dan menyaksikan konsert Queen of the Night.
“Konsert Jiwa Prihatin Queen of The Night Datuk Sri Siti Nurhaliza ini, selalunya konsert begini dijual meja kepada korporat dan syarikat. Tapi buat julung kalinya, Yayasan Metamorphosis membeli semua meja untuk diberi kepada golongan B40 yang tak mampu untuk membeli tiket bagi menonton persembahan eksklusif begini,” ceritanya.
Tambah Razalif, pihaknya telah membelanjakan hampir RM1 juta untuk membeli meja saja. Tujuannya adalah untuk memenuhi hasrat peminat daripada golongan kurang berkemampuan yang mahu bertemu dengan penyanyi tersohor itu.
“Jadi kita penuhi hasrat mereka untuk bertemu dengan biduanita negara untuk sama-sama dalam program tersebut. Kita akan jemput bukan saja di Kuala Lumpur dan Selangor, bahkan dari Perlis sampai ke Sabah.
“Yayasan Metamorphosis ini sudah bergerak sejak 2019 dan kita juga berada di setiap negeri dan wakil kita tahu siapa golongan B40. Setiap bulan kita ada bakul makanan untuk golongan tersebut. Dari situ kita akan membuat pemilihan. Yayasan yang akan pilih berdasarkan kriteria yang tertentu,” katanya.
-BTS Media