Lagu raya baharu daripada Siti Nurhaliza selepas Hari Kemenangan pada 2016.
Oleh Khadijah Ibrahim
Kedatangan bulan Syawal begitu sinonim dengan lagu-lagu raya, sama ada lagu evergreen mahupun lagu raya terkini.
Bersempena dengan sambutan lebaran tahun ini, penyanyi Datuk Sri Siti Nurhaliza telah merakamkan sebuah single raya terbaharu yang diberi judul Lip Lap Raya.
Kali terakhir dia muncul dengan single raya pada tahun 2016 menerusi lagu Hari Kemenangan. Lagu dan lirik Lip Lap Raya adalah ciptaan bersama Ajay Amai, Glow Rush, Karim Karam dan Mike Chan.
Lagu ini menggabungkan rentak inang, canggung serta turut diselitkan elemen dikir barat manakala liriknya pula berkisarkan kemeriahan sambutan hari raya setelah dua tahun berada dalam fasa pandemik.
Penerbit lagu, Glow Rush mengatakan bahawa keistimewaan pada lagu Lip Lap Raya adalah daripada gabungan elemen tradisional dan moden seperti penggunaan dram elektronik, synth serta vokal Siti yang menjadi kekuatan lagu tersebut.
Pihak Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd., dan Universal Music Malaysia sebagai penerbit bersama single Lip Lap Raya, yakin dengan penerimaan peminat muzik tanah air terhadap karya terbaharu Siti Nurhaliza ini.
Bagi Siti, lagu Lip Lap Raya adalah sebuah lagu yang dapat menarik minat pendengar walaupun baru pertama kali mendengarnya.
Lazimnya sebuah lagu baru akan mengambil masa untuk diterima atau digemari tetapi muzik yang ditampilkan menerusi lagu Lip Lap Raya akan dapat melekat di hati pendengar.
“Saya gembira kerana dapat merakamkan lagu Lip Lap Raya serta menambah koleksi lagu raya nyanyian saya. Saya sangat berharap agar lagu ini turut menjadi sebuah lagu raya evergreen pada satu hari nanti, “ ujar Siti yang turut menyiapkan video muzik Lip Lap Raya, arahan Aaron Lee.
Video muzik rasmi Lip Lap Raya boleh ditontoni di saluran YouTube Siti Nurhaliza bermula 20 April 2020, 9 malam. Lagu Lip Lap Raya sudah boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer danYouTube Music, JOOX, KKBox dan Deezer bermula 20 April 2022.
Selain lagu Lip Lap Raya, peminat Siti juga boleh menikmati lagu berunsur ketuhanan, Alhamdulillah, dendangannya bersama dengan pasangan suami isteri, Atta Halilintar dan Aurel Hermansyah.
Lagu tersebut adalah sebagai tanda kesyukuran Atta dan Aurel atas nikmat dan rezeki yang mereka peroleh selama ini, ditambah dengan kehadiran cahaya mata sulung, Ameena Hanna Nur Atta pada 22 Februari lalu.
Menurut Atta, sudah lama dia dan Aurel berhasrat untuk berkolaborasi dengan Siti yang merupakan rakan baik kepada Kris Dayanti itu.
“Sudah lama kami mahu berkolaborasi dengan Datuk Siti untuk lagu religi. Sudahnya kami cuba dan ternyata Datuk Siti menerima pelawaan kami untuk menyanyi bersama,” kata Atta yang dipetik daripada portal Antara.
Bagi Aurel pula, kesudian Siti untuk bekerjasama dengan mereka bagaikan mimpi kerana dia sudah biasa dengan lagu-lagu dendangan Siti Nurhaliza sejak kecil lagi.
“Jadi it’s like a dream come true. Apabila ini lagu religi dan suara lembut Datuk Siti sangat cocok dengan lagu Alhamdulillah,” kata Aurel.
Rakaman lagu Alhamdulillah dibuat secara berasingan dan mixing dilakukan di Indonesia. Lagu Alhamdulillah telah dimuat naik di saluran YouTube AHHA Music pada 19 April 2022.
-BTS Media