GAMBAR ATAS: Chongkian, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons
Oleh Zainal AS Rashid
Penduduk Pangsapuri Amber Court di Genting Highlands sudah muak dengan khabar angin dan laporan akhbar bahawa kononnya bangunan itu berhantu.
Pengerusi Amber Court Management Corporation KK Chai berkata lebih 100 penduduk berkumpul di luar apartmen pada Sabtu (18 Jun) untuk membantah pengendali akaun YouTube yang datang ke apartmen untuk membuat video mengenai aktiviti ghaib, dan mendakwa bangunan itu berhantu.
Beliau berkata tuduhan mereka tidak berasas, kerana tiada seorang pun di antara penduduk pernah melihat hantu apatah lagi diganggu oleh kejadian aktiviti ghaib di pangsapuri itu.
Chai percaya mereka yang membuat video itu semua hanya bertujuan untuk menaikkan populariti  atau mempunyai agenda tersembunyi, lapor The Star.
Ada di antara mereka yang mendakwa kononnya ada pakar yang boleh menghalau ‘hantu’ itu semua, tetapi kena bayar untuk perkhidmatan mereka.
Beliau memberitahu media di Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA pada Rabu (22 Jun) bahawa sesetengah penduduk telah membuat laporan polis.
Chai memberi amaran kepada pengendali akaun YouTube dan mereka yang mengambil kesempatan supaya berhenti menyebarkan maklumat palsu atau berdepan tindakan undang-undang.
Bekas pengerusi persatuan penduduk di situ yang turut hadir berkata, video dan dakwaan sedemikian telah menjatuhkan nilai pangsapuri itu.
Menurut beliau, walaupun di sekitar Genting Highlands harga tanah sekurang-kurangnya RM1,000 sekaki persegi, namun di hartanah Amber Court pada masa ini hanya bernilai sekitar RM250 sekaki persegi.
Beliau berkata dakwaan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab telah merosakkan nama Amber Court, dan sehingga kini lebih RM1.4 juta telah dibelanjakan untuk menaik taraf pangsapuri itu, tetapi penyebaran pembohongan masih berlaku.
-BTS Media