BTS Media

Lupus kenderaan lebih 10 tahun belum sesuai dilaksanakan – Menteri

GAMBAR ATAS: Wikimedia Commons.

 

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata cadangan supaya kenderaan melebihi usia 10 tahun dilupuskan bagi menyelesaikan masalah kesesakan belum sesuai dilaksanakan di negara ini.

Beliau berkata, jika ingin dilaksanakan dasar sebegitu besar itu memerlukan kajian terperinci selain kesediaan dan kemampuan rakyat.

Katanya, setakat ini terdapat lebih 34 juta kenderaan berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun hanya 22 juta sahaja yang aktif memperbaharui cukai jalan.

“Kerajaan sentiasa dengar pandangan dan idea pakar, namun dasar supaya melupuskan kenderaan melepasi had usia lebih 10 tahun masih tidak sesuai dilaksanakan di negara kita.

“Penyelesaian isu kesesakan di jalan raya kita bukan itu sahaja (pelupusan kenderaan lebih 10 tahun) kerana ia memerlukan pendekatan holistik dan menyeluruh.

“Jika dasar itu mahu dilaksanakan, kita terlebih dahulu perlu ada jaringan pengangkutan sempurna termasuk di kampung-kampung, namun ketika ini pun jaringan lengkap projek transit aliran massa (MRT) di Lembah Klang masih belum siap dibina,” katanya pada sidang media di JB Sentral, menurut laporan Harian Metro.

Khamis lalu, sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilapor menyarankan beberapa mekanisme bagi menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di ibu kota.

Kumpulan diketuai Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya UKM, Rozmi Ismail dilapor mencadangkan supaya kenderaan usia lebih 10 tahun dilupuskan supaya tidak berada di jalan sekali gus bertujuan menyeimbangkan jumlah antara kenderaan baharu dan lama atas jalan raya.

Dalam pada itu, Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, berdasarkan penelitian, majoriti daripada 12 juta kenderaan tidak aktif atas jalan raya didapati tidak memperbaharui cukai jalan.

Katanya, antara faktor tidak aktif itu termasuk kenderaan lama, terdapat pemilik atau pewaris yang hendak menyimpan nombor pendaftaran kenderaan lama di samping hanya menggunakan kenderaan itu di kampung.

“Kita ada data, siapa tidak bayar cukai jalan tetapi sistem yang lebih menyeluruh diperlukan bagi mengenal pasti kenderaan aktif dan tidak aktif ini. Kemudian bila sudah ada sistem yang lengkap, kita akan lihat secara terperinci punca sebenar kenderaan tidak aktif ini.

“Banyak lagi perkara perlu diteliti jika mahu melaksanakan sebarang dasar besar termasuk pelupusan kenderaan melebihi 10 tahun kerana isu berkenaan cukup kompleks meskipun terdapat banyak negara yang sudah membuat dasar itu termasuk Singapura.

“Jika hendak dilaksanakan, dasar automotif negara perlu dilihat semula kerana dasar itu menggalakkan pemilikan kenderaan buatan Malaysia,” katanya.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/06/19/lupus-kenderaan-lebih-10-tahun-belum-sesuai-dilaksana-kata-menteri/

Leave a Comment