Oleh Zainal AS Rashid
Bencana banjir boleh dijadikan tarikan pelancongan, kata Nazri Aziz.
Daripada mengadu tentang banjir tahunan yang tidak terkawal, bekas menteri pelancongan, kesenian dan kebudayaan itu berkata negara patut menggunakannya untuk “volunteerism” (pelancongan sukarelawan).
Bagi beliau, jika sudah tahu banjir akan berlaku, bersiaplah awal dan buat perancangan (bagi tujuan itu).
Nazri berkata mungkin melalui konsep pelancongan sukarelawan ini orang luar boleh berkunjung ke negara kita untuk membantu ketika banjir, dan bukan sekadar melancong untuk bersuka, tetapi sebaliknya untuk belajar, lapor Sinar Harian.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu menambah bahawa peluang tersebut adalah sesuatu yang baik ketika negara ini sedang berdepan dengan cabaran ekonomi, iaitu dengan menarik pelancong luar menyertai program sukarelawan ketika berlaku bencana.
Beliau berkata apabila nilai ringgit jatuh, sudah tiba masanya bagi negara ini mempromosikan pelancongan kerana ia lebih murah.
Nazri berkata orang Singapura akan datang ke Malaysia kerana mereka akan berbelanja sekitar satu pertiga daripada pendapatan mereka.
Juga, dalam keadaan ini beliau berkata hotel-hotel mewah lima atau enam bintang di sini menjadi begitu murah (bagi mereka).
Idea beliau, bagaimana pun, dikecam teruk dalam media sosial kerana bencana banjir yang membahayakan nyawa bukan sesuatu yang menarik untuk dijadikan aset pelancongan.
-BTS Media