Oleh Fetty Rara
Johor mungkin mengatur semula cuti rehat hujung minggu ke Sabtu dan Ahad daripada Jumaat dan Sabtu.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata perkara ini berbangkit setelah beliau mendengar rungutan orang ramai tentang perbezaan hari rehat bagi badan kerajaan dan swasta.
Beliau berkata kerajaan negeri akan mengkaji semula perkara ini supaya ibu bapa dan anak-anak mereka dapat berehat pada hari yang sama.
“Perkara ini akan saya umumkan kelak setelah mendapat kaedah yang paling tuntas untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya ketika menyampaikan amanat khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA), di Johor Baru pada Selasa (14 Jun).
Pada 23 November 2013, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-55, menitahkan cuti hujung minggu negeri Johor ditukar ke Jumaat dan Sabtu.
Selain Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu juga mempunyai hari cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu.
-BTS Media