BTS Media

‘Projek lampu jalan 5G’ di KL tidak guna dana awam – penjelasan syarikat

Imej sekadar ilustrasi.

 

Oleh Zainal AS Rashid

Kontrak projek lampu jalan bernilai RM30.75 juta di Kuala Lumpur yang dianugerahkan kepada Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) tidak melibatkan dana awam, dan syarikat itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL.)

Ketua Pegawai Operasi Ennova Sdn Bhd Megat Rozaimi Jaafar berkata syarikat itu perlu menjelaskan kedudukan sebenar kerana didakwa kononnya membabitkan dana DBKL.

Beliau berkata projek itu dibiayai oleh Ennova melibatkan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan 200 unit tiang lampu atau monopole di Kuala Lumpur.

Menurut Megat Rozaimi,satu-satunya kaitan dengan DBKL ialah sewa tapak daripada pihak berkuasa tempatan.

Beliau menjawab kenyataan oleh pengerusi biro aduan DAP Kuala Lumpur Lim Lip Eng pada Sabtu (11 Jun), yang mendakwa bahawa projek itu terlalu mahal.

Lim berkata projek itu melibatkan 200 tiang lampu yang akan dibina dengan kos RM30.75 juta, iaitu RM153,750 setiap satu.

Jelas Megat Rozaimi lagi, Ennova bukan satu-satunya syarikat yang melaksanakan projek berkenaan, malahan DBKL juga telah melantik 20 syarikat lain bagi pembinaan infrastruktur untuk melancarkan rangkaian telekomunikasi 5G.

Beliau berkata dalam menjalan projek itu ada kala tiang lampu perlu diganti dengan yang baharu, dan memakan belanja antara RM50,000 hingga RM90,000 membabitkan kos ukur tanah, dan kajian tanah yang diperlukan.

Tiang berteknologi terkini ini lebih kukuh, selamat, dan dilengkapi peralatan telekomunikasi.

Sebelum ini dilaporkan bahawa kontrak telah diberikan kepada Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) melalui Ennova Sdn Bhd untuk membina dan mengendalikan 200 lampu jalan di Kuala Lumpur untuk DBKL.

Ennova ialah sebuah syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi yang antara lain menyediakan perkhidmatan, seperti membina, memajak, penyediaan operasi dan penyelenggaraan tiang monopole.

Projek tersebut dijadualkan bermula pada Jun dan berakhir pada Mei 2023.

-BTS Media

Leave a Comment