BTS Media

Biro Agama BERSATU kecam provokasi pemimpin Bharatiya Janata Party hina Nabi Muhammad

GAMBAR ATAS: Antara protes di India yang membantah provokasi BJP.

 

Biro Agama BERSATU menolak sekeras-kerasnya kenyataan bersifat provokasi oleh pemimpin parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Pengerusi Biro Agama BERSATU Datuk Shabudin Yahaya berkata tindakan jurucakap BJP, Nupur Sharma serta seorang lagi ketua media BJP di Delhi, Naveen Jindal itu tidak boleh diterima sama sekali oleh umat Islam.

“Biro Agama BERSATU menyokong penuh tindakan Kementerian Luar Negeri Malaysia yang telah memanggil Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia semalam bagi melahirkan penyangkalan terhadap kenyataan itu.

“Kenyataan yang dikeluarkan itu adalah satu tindakan melampau yang perlu dibendung kerana semua pihak harus menjaga sensitiviti agama lain serta tidak mencampuri urusan agama lain,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada masa yang sama, kata Shabudin, Biro Agama BERSATU mendesak Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Luar Negeri menghantar nota bantahan kepada Kerajaan India atas kenyataan yang ‘boleh mencetuskan kekacauan agama’ itu.

“Biro Agama BERSATU menyambut baik tindakan parti pemerintah India yang menggantung kedua-dua ahli parti terbabit atas kenyataan bersifat provokasi itu namun berharap kenyataan serupa tidak akan berulang kerana tindakan mereka telah menimbulkan kemarahan umat Islam,” katanya.

Leave a Comment