BTS Media

Hanya 1% organ diperoleh daripada 510,186 penderma

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Mengikut rekod, sejumlah 510,186 individu didapati berdaftar sebagai penderma organ sejak 1997 hingga April 2022.

Namun, daripada jumlah itu hanya 2,641 individu atau kurang daripada 1% dapat menderma organ mereka.

Menurut statistik Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC), hanya 2,641 pembedahan pemindahan organ dilakukan dalam tempoh itu, termasuk 1,752 pemindahan buah pinggang daripada penderma hidup dan 651 daripada penderma yang telah meninggal dunia (kadaverik).

Sepanjang tempoh itu, seramai 49,111 pesakit buah pinggang Tahap 5 yang menjalani dialisis masih menunggu organ daripada penderma.

Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Nasional (NKF), Dr Zaki Morad Zaher berkata, walaupun jumlah pengikrar organ tinggi, namun kekurangan bekalan buah pinggang adalah disebabkan organ tersebut tidak sesuai digunakan apabila penderma meninggal dunia di rumah, lapor Utusan Malaysia.

“Apabila mereka meninggal di rumah dan tiada sesiapa yang tahu, kita terlepas peluang mengambil buah pinggangnya. Jika mereka meninggal di rumah, kita hanya boleh mengambil kornea (mata) dan tulang kerana ia boleh diambil selepas beberapa jam sekalipun.

“Penderma buah pinggang perlu meninggal dunia dalam keadaan tertentu seperti di hospital bagi membolehkan pihak hospital mengambil organnya. Ini kerana proses pembedahan itu perlu dilakukan segera, iaitu dalam masa empat jam bagi membolehkan organ itu berfungsi,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata apabila pesakit buah pinggang berada pada peringkat terakhir, mereka tidak lagi boleh mencegah penyakit itu dan hanya boleh dirawat menggunakan mesin dialisis sepanjang hayat ataupun menunggu organ daripada penderma.

Dr Zaki berkata daripada jumlah itu pula, hanya lebih kurang 20,000 pesakit buah pinggang yang layak menerima organ baharu atau menjalani rawatan pemindahan buah pinggang disebabkan faktor kesihatan tertentu.

“Lebih menyedihkan, kami hanya dapat 80 hingga 100 buah pinggang setiap tahun dan ia menyebabkan pesakit baharu buah pinggang terpaksa menunggu giliran hampir 20 hingga 30 tahun untuk mendapatkan organ daripada penderma,” jelasnya.

Beliau berkata, jumlah pesakit buah pinggang Tahap 5 (peringkat akhir) yang memerlukan dialisis pada 2020 adalah 49,111 orang.

Daripada jumlah itu, 43,729 pesakit menjalani hemodialisis di pusat rawatan atau hospital, dan 5,382 pesakit menjalani dialisis peritoneal di rumah.

Zaki berkata, jumlah pesakit buah pinggang meningkat setiap tahun dengan 26,962 pesakit baharu direkodkan dalam tempoh dua tahun sejak 2019 sehingga Disember 2020.

-BTS Media

Leave a Comment