BTS Media

Pelanggan KFC Australia berkokok marah bila burger guna kubis ganti lettuce

 

Oleh Fetty Rara

KFC Australia berkata pada 7 Jun bahawa harga salad yang tinggi di Australia telah memaksa rangkaian restoran ayam goreng itu beralih kepada menggunakan campuran kubis dalam burger dan produk lain.

Pertukaran itu telah mencetuskan kemarahan peminat KFC yang antara lain berkata, KFC tidak lagi enak “hingga menjilat jari”, walaupun penggunaan slogan itu telah dihentikan baru-baru ini.

Harga daun lettuce di Australia dilaporkan telah melambung setinggi 300% sejak beberapa bulan lalu, hingga memaksa rangkaian KFC mengubah resipi mereka, lapor akhbar British, The Guardian.

KFC Australia memberitahu pelanggan bahawa disebabkan kekurangan bekalan lettuce, mereka terpaksa beralih kepada campuran kubis dan lettuce sehingga diberitahu kelak.

Menurut syarikat itu, banjir meluas di timur Australia baru-baru ini merupakan punca bekalan sayur tersebut kurang.

Bagaimana pun, pakar rantaian bekalan Flavio Macau dari Edith Cowan University berkata perang Rusia-Ukraine juga merupakan faktor kerana keadaan telah menaikkan harga diesel dan baja.

Lettuce jenis ‘iceberg’ di Sydney atau Melbourne yang sebelum ini dijual pada harga kira-kira AS$2 (RM8.80) kini berharga hampir AS$8 (A$12 atau RM35).

Syarikat itu memberitahu pelanggan: “Jika anda tidak suka, sila klik butang ‘customise’ pada aplikasi pesanan atau pada laman web pesanan KFC dan buang lettuce dalam pilihan”.

Apa yang berlaku mengundang pelbagai reaksi, termasuk satu komen yang berkata “dah nak kiamat!”

-BTS Media

Leave a Comment