Restoran makanan segera Burger King Malaysia berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pekerjanya yang memuat naik klip rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pelanggan makan ketika Ramadan.
“Dukacita kami mengesahkan bahawa ia dimuat naik oleh pekerja Burger King Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
“Di Burger King Malaysia, kami sangat menghormati privasi pelanggan kami dan akan mengambil tindakan selanjutnya agar perkara ini tidak berulang pada masa depan.”
Pada 20 Apr, satu klip video berdurasi 14 saat tersebar di media sosial, yang difahamkan dirakam oleh pekerja Burger King menunjukkan tiga wanita bertudung memesan makanan dan makan di dalam restoran berkenaan.
Seorang warganet berkata, tindakan pekerja premis makanan segera merakam dan memuat naik rakaman CCTV sangat tidak wajar.
“Mana tahu dia orang mengandung ke sakit ke? Bukan urusan awak okay,” katanya di ruang komen.
“Ni Burger King mana? Nak report staf takde etika, rekod customer,” kata seorang lagi netizen.
Bagaimanapun, terdapat juga segelintir yang berpendapat pelanggan berkenaan seharusnya menghormati Ramadan dengan tidak makan di khalayak ramai.
“Kalau tak boleh berpuasa pun, adalah kesedaran sikit. Tapau (kemudian) makan lah kat rumah ke dalam kereta ke. Ini makan di tempat awam,” katanya.
Difahamkan kejadian berlaku di Burger King cawangan Kompleks PKNS Shah Alam.