GAMBAR ATAS: SPRM
Pasangan suami isteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah lebih RM600,000 bagi kerja-kerja pelantikan syarikat pengangkutan untuk sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Sumber berkata, pasangan suami isteri yang masing-masing berusia lingkungan 50-an dan 40-an ditahan di kediaman mereka di Petaling Jaya kira-kira jam 7 malam semalam.
Katanya, pasangan terbabit direman selama enam hari bermula hari ini, selepas permohonan reman oleh SPRM diterima majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
“Suspek lelaki yang berkhidmat sebagai eksekutif kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disyaki meminta ‘habuan bulanan’ kira-kira RM20,000 sebagai balasan melantik sebuah syarikat pengangkutan bagi penghantaran produk berasaskan minyak ke seluruh negara untuk tempoh antara Julai 2019 hingga April 2022.
“Difahamkan, isteri suspek dipercayai bersubahat bersama suaminya untuk meminta dan menerima bagi pihak suaminya.
“Isteri suspek juga dipercayai mempunyai kawalan ke atas kad debit milik syarikat pengangkutan terbabit di mana pemilik syarikat tersebut terlibat dalam urusan rasmi dengan suami suspek,” katanya.
Sumber berkata, eksekutif kanan itu juga telah digantung tugas di syarikat berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan suami isteri tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.