BTS Media

Saravanan tak kisah ancaman demonstrasi pakai kain kafan bantah ‘kartel’ pekerja Bangladesh

 

Oleh Zainal AS Rashid

Menteri Sumber Manusia M Saravanan pada Rabu (1 Jun) berkata beliau tidak kisah ugutan protes terhadap keputusan kementeriannya mengehadkan bilangan perekrut warga Bangladesh yang dibenarkan menghantar rakyat mereka sebagai buruh di sini.

Malaysiakini melaporkan bahawa Saravanan, yang dijadualkan mengetuai delegasi kementerian untuk mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama di Dhaka hari ini (Khamis 2 Jun), berkata beliau tidak takut dengan sebarang protes yang menantikannya di Bangladesh.

“Saya tidak takut. Semakin mereka mengugut, semakin saya akan melarang!”

“Saya tidak takut. Semakin mereka mengugut, semakin saya akan melarang!” beliau dilaporkan berkata.

Awal semalam akhbar Bangladesh The Business Post melaporkan bahawa kira-kira 2,000 perekrut mengancam untuk mengadakan tunjuk perasaan di Dhaka bagi menuntut pasaran terbuka untuk membekalkan buruh ke Malaysia.

Akhbar itu memetik pemilik syarikat perekrut mengancam memakai kain kafan pada tunjuk perasaan di depan bangunan agensi perekrut pekerja seberang laut Bangladesh, Probashi Kallyan Bhaban di ibu negara Bangladesh itu.

Memetik sumber industri, akhbar itu berkata kos pengambilan pekerja akan meningkat daripada 120,000 Bangladesh Taka (RM5,900) seorang kepada 450,000 Bangladesh Taka (RM22,200) jika kartel dibenarkan mengawal pasaran.

Pada Disember tahun lepas, Malaysia dan Bangladesh menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pengambilan pekerja Bangladesh yang berkuat kuasa lima tahun sehingga Disember 2026.

Saravanan dalam satu kenyataan berkata, MoU itu menggariskan tanggungjawab kedua-dua negara, termasuk berkaitan majikan dari Malaysia dan pekerja dari Bangladesh serta tugas agensi pekerjaan swasta di kedua-dua negara.

-BTS Media

Leave a Comment