BTS Media

Guna surat PM pun tak boleh paksa kementerian tukar pemilihan agensi pekerja Bangladesh

Oleh Zainal AS Rashid

MENTERI Sumber Manusia M. Saravanan berkata kementeriannya tidak akan terpengaruh dengan surat sokongan daripada sesiapa, termasuk perdana menteri, dalam memutuskan agensi Bangladesh mana yang akan dilantik bagi pengambilan pekerja asing.

Portal berita Malaysiakini pada Selasa (16 Ogos) melaporkan Saravanan berkata bahawa adalah menjadi amalan biasa bagi agensi pengambilan pekerja Malaysia mendapatkan surat sedemikian untuk rakan kongsi Bangladesh mereka.

Beliau berkata surat (cadangan) seperti itu adalah perkara biasa, dan selain sekadar menerima dan mengambil maklum, ia habis di situ sahaja.

Saravanan dipetik portal berita itu yang mendakwa telah melihat dua surat bertarikh 2 Ogos daripada Ahli Parlimen Jempol Mohd Salim Mohd Sharif dan Ahli Parlimen Parit Nizar Zakaria.

Menurut Malaysiakini, kedua-dua ahli Parlimen UMNO itu telah meminta sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menambah empat lagi agensi Bangladesh ke senarai 25 yang diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Malaysiakini melaporkan kedua-dua Mohd Salim dan Nizar yang telah mengesahkan mengeluarkan surat itu, berkata mereka diminta berbuat demikian, tetapi menafikan secara peribadi mengenali pempetisyen yang kononnya berasal dari Jelebu, Negri Sembilan, dan tidak mempunyai kepentingan dalam pengambilan pekerja asing.

Menurut Malaysiakini, kedua-dua surat itu hampir serupa kecuali nama agensi Bangladesh.

Kementerian Sumber Manusia dikecam sejak beberapa bulan lalu kerana mengehadkan hanya 25 agensi bagi menguruskan pengambilan pekerja dari Bangladesh.

Pihak industri dan kumpulan hak asasi manusia berpendapat bahawa sistem itu mewujudkan “monopoli” yang boleh mengeksploitasi pekerja asing.

Bagaimanapun, Saravanan tetap tegas bahawa pendirian kementeriannya mengehadkan hanya 25 agensi daripada lebih seribu pemohon adalah untuk mengelakkan eksploitasi, dan pemilihan dibuat melalui sistem penilaian dikatakan adil.

-BTS Media

Leave a Comment