ATAS: Park Shin-hye dan Choi Tae Joon dikurniakan anak lelaki sulung pada 31 Mei lalu.
Oleh Khadijah Ibrahim
Ulanglah berapa kali pun The Heirs, lakonan Lee Min-ho yang melakonkan watak Kim Tan dan Park Shin-hye sebagai Cha Eun-sang, pasti peminat K-Drama tak akan lepas peluang untuk menontonnya.
Terkini Park Shin-hye menerusi pihak pengurusannya, SALT Entertainment berkongsi berita gembira tentang kelahiran bayi lelaki aktres tersebut.
Dalam satu kenyataan, SALT Entertainment memberitahu bahawa isteri kepada aktor Choi Tae Joon itu selamat melahirkan bayi sulungnya di sebuah hospital di Seoul pada 31 Mei lalu.
Dimaklumkan bahawa ibu dan anak berada dalam keadaan sihat dan kini sedang berehat dengan ditemani oleh suami tercinta.
Pihak pengurusan Park Shn-hye turut mengucapkan terima kasih kepada peminat dan orang ramai yang tak putus-putus menghantar ucapan tahniah kepada pasangan tersebut.
Park Shin-hye dan Choi Tae Joon mula menjalin hubungan cinta pada 2017 dan mengambil keputusan mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2022.
Populariti Park Shin-hye tidak dapat disangkal kerana dia sering digandingkan dengan barisan aktor Korea Selatan.
Dia yang memulakan kerjaya seni sejak kanak-kanak cukup dikenali menerusi drama Stairway to Heaven dan Tree of Heaven pada 2003 dan 2006.
Dia juga dikenali menerusi Miracle in Cell No.7 yang merupakan antara filem yang mendapat kutipan tertinggi di Korea Selatan.
Malah aktres itu juga pernah memenangi banyak anugerah, antaranya menerusi drama You’re Beautiful (2009), The Heirs (2013), Pinocchio (2014 – 2015), Doctors (2016), Sisyphus: The Myth (2021) dan banyak lagi.
Sementara itu, Choi Tae Joon, 31, selain berlakon juga adalah seorang model dan pengacara TV. Namanya mendapat perhatian ramai kerana watak jahat lakonannya dalam drama Missing 9 yang diterbitkan pada 2017.
Selain itu, sebagai pemegang watak utama dalam drama Exit (2018) dan So I Married the Anti-fan (2021), populariti Choi Tae Joon terus diperkatakan.
-BTS Media