GAMBAR ATAS: BTS Media.
Oleh Yusoff A. Shariff
Barisan Nasional (BN) perlu mengubah imej bagi menarik pengundi, dan keluar daripada tanggapan bahawa kemenangan pada tiga pilihan raya negeri lalu bermakna ia pilihan rakyat.
Timbalan presiden UMNO Mohamad Hassan yang berkata demikian di konvensyen ulang tahun ke-48 BN di WTC Kuala Lumpur pada Rabu (1 Jun) menggesa parti-parti dalam gabungan itu supaya meneruskan usaha bagi meyakinkan pengundi bahawa BN sepatutnya diberi tanggungjawab memulihkan negara.
Beliau berkata kekalahan gabungan itu dalam pilihan raya umum ke-14 patut dijadikan iktibar, dan tidak terperangkap oleh nostalgia hingga menganggap gabungan itu satu-satunya pilihan pengundi.
Mohamad mengingatkan bahawa rakyat melihat dua wajah BN, iaitu sama ada sebagai sebuah gabungan pelbagai kaum atau sekumpulan ahli politik yang korup.
Menurutnya, BN perlu elak dikaitkan dengan rasuah dan wujud di mata rakyat sebagai entiti serius yang boleh dipercayai.
Tentang persoalan mengapa BN perlu memerintah, beliau merujuk kepada isu kenaikan harga dan kekurangan bekalan semasa, selain keyakinan yang semakin terhakis terhadap pemimpin kerajaan.
Pedagang politik dan puak oportunis perlu ditolak
Oleh yang demikian, berdasarkan faktor itu semua Mohamad Hassan berkata pedagang politik dan puak oportunis perlu ditolak.
BN buat kali pertama kalah pada PRU14, justeru menamatkan pemerintahan berterusan sejak negara merdeka, dan kemudian membawa kepada pemimpin tertinggi, seperti bekas perdana menteri Najib Razak dan timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi didakwa atas berpuluh-puluh tuduhan rasuah.
Sejak itu, bagaimanapun, BN berjaya berganjak ke tampuk kuasa tanpa dipilih oleh rakyat; pertama, melalui kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang kemudian meninggalkan gabungan Pakatan Harapan setelah memenangi pilihan raya pada 2018.
UMNO kemudian merampas jawatan perdana menteri dengan melancarkan kempen yang memaksa presiden Bersatu Tan Sri Muhiyddin Yassin meletak jawatan dan Ismail Sabri Yaakob menggantikannya.
-BTS Media