Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad meminta orang ramai melaporkan kepada pejabat agama negeri masing-masing sekiranya terdapat perbuatan menjadikan kipas sebagai makmum apabila menunaikan solat.
Ia susulan video tular baru-baru ini, khususnya di aplikasi TikTok yang memaparkan tindakan individu, rata-rata berstatus bujang berlakon menunaikan solat dengan menjadikan kipas sebagai makmum atau imam.
Idris menegaskan, perbuatan sedemikian yang menjadi ikutan anak muda dan remaja, tidak sepatutnya berlaku.
“Janganlah ambil ilmu yang ditiru dari Youtube dan mana-mana sumber yang tidak diketahui. Jadi, perkara yang mengarut dan pelik ini, laporkan kepada pejabat agama supaya boleh diambil tindakan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau menasihatkan generasi muda agar mendapatkan ilmu agama dengan mencari guru yang boleh mengajar dengan betul seperti melalui kuliah di masjid, surau dan sebagainya.
Mengenai kegiatan menggunakan imej agama dan gelaran ustaz untuk memperdaya masyarakat dengan tawaran ibadat atau produk untuk kepentingan peribadi, Idris yang juga naib presiden PAS menyifatkan ia sebagai perbuatan zalim.
“Janganlah ambil kesempatan buat perkara begini, terutama soal ibadat kerana ia menzalimi orang-orang yang terkena dengan perbuatan mereka. Pihak yang terkena diharap membuat laporan polis supaya dapat diambil tindakan terhadap mereka yang terlibat,” katanya.
Antara tawaran bagi menarik pengguna termasuk kononnya penginapan disediakan mereka di Tanah Suci adalah termurah tetapi terletak berdekatan Masjidil Haram.