GAMBAR ATAS: Aziz A. Shariff
Kerajaan perlu memberi sepenuh perhatian kepada pembaikan tukaran asing atau berdepan penyusutan ringgit jatuh kepada RM5.50 berbanding USD1, menjelang akhir tahun, kata bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, berkata kemerosotan nilai ringgit memberi kesan yang sangat besar kepada rakyat negara ini.
“Sekarang ini pun, dua hari lalu ringgit kita sudah turun kepada RM4.40 berbanding USD1 dan ini akan menjadi lebih teruk.
“Kalau terus jatuh kita tak boleh beli apa-apa. Dah tak ada nilai. Sebagai contoh, kalau nilai ringgit kita jatuh kepada lima sen misalnya apa yang boleh kita beli? Ini masalah sebenarnya,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Rakyat ketika ini perlu mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhati-hati
Tengku Razaleigh berkata, rakyat ketika ini perlu mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhati-hati.
“Saya tak nak ugut atau menakutkan sesiapa, keadaan ini akan berlaku. Kita hanya ada dua bulan bekalan makanan, padahal penduduk kita lebih ramai berbanding Singapura yang ada bekalan hingga enam tahun.
“Kalau kita tak ambil tindakan segera kita akan berhadapan dengan masalah. Bukan sahaja masalah ekonomi tetapi masalah sosial dan macam saya sebut tadilah keadaan akan jadi huru-hara serta demonstrasi terutama sekali oleh orang bukan berada,” katanya.
Sebelum ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera dan menyelaraskan usaha untuk menangani krisis makanan.