BTS Media

Muhyiddin akan pilih pengganti Zuraida dalam Kabinet, kata Wan Saiful

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menamakan pengganti Kabinet baharu berikutan peletakan jawatan Zuraida Kamaruddin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan pada Khamis (26 Mei) berkata parti itu telah membincangkan kedudukan Zuraida dan mengeluarkan surat tunjuk sebab selepas meneliti tindakannya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Ampang yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu mengumumkan bahawa beliau telah meninggalkan Bersatu dan akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Tindakan Zuraida itu tidak mengejutkan malah sudah dijangka

Tambah Wan Saiful, tindakan Zuraida itu tidak mengejutkan malah sudah dijangka.

Beliau berkata, dalam keadaan seluruh negara bercakap tentang kepentingan kestabilan politik, nampaknya Zuraida bertindak atas pertimbangan sendiri sahaja.

Zuraida berada di Turki untuk menghadiri majlis perasmian Persidangan Perintis Ketujuh untuk Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin.

Zuraida, yang juga ahli Majlis Tertinggi Bersatu, dijangka pulang ke Malaysia pada 2 Jun selepas menyertai misi perniagaan Majlis Perkayuan Malaysia (MTC).

-BTS Media

Leave a Comment