BTS Media

Penyokong pendakwah Indonesia sebut ancaman ‘9/11’ terhadap Singapura – Shanmugam

GAMBAR ATAS: Wikimedia Commons.

 

Oleh Fetty Rara

Penyokong pendakwah Indonesia yang dilarang masuk ke Singapura telah membuat kenyataan ugutan terhadap negara kota itu dengan merujuk kepada kejadian serangan ‘9/11’ ke atas Amerika Syarikat, kata Menteri Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura K. Shanmugam semalam (23 Mei).

Menurut satu laporan CNA, Shanmugam memberitahu media bahawa satu ugutan melalui Instagram melabelkan Singapura sebagai sebuah negara ‘Islamophobic’ (anti-Islam), dan seterusnya mendesak pemimpin negara itu supaya memohon maaf kepada umat Islam dan rakyat Indonesia dalam masa 48 jam.

Pengguna akaun Instagram itu mengugut untuk menghantar ‘tentera’ daripada Barisan Pertahanan Islam Indonesia menyerang Singapura “seperti 9/11 di New York” dan mengusir duta Singapura ke Indonesia sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Komen Shanmugam menyusul selepas Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura berkata pada Selasa lalu bahawa pendakwah Indonesia Abdul Somad Batubara dan enam lagi individu yang bersamanya tidak dibenarkan memasuki Singapura baru-baru ini setiba mereka di Terminal Feri Tanah Merah, Singapura.

Setelah tidak dibenarkan memasuki Singapura kumpulan tujuh orang itu diarah menaiki feri lain untuk kembali ke Batam, Indonesia pada hari yang sama, jelas MHA kepada Yahoo News Singapore.

Menurut MHA lagi, Somad yang didakwa terkenal dengan ajaran ekstremis dan segregasi tidak boleh diterima dalam masyarakat berbilang kaum dan agama Singapura.

Tindakan itu telah mencetuskan bantahan daripada pengikut pelbagai kumpulan Islam Indonesia yang berkumpul di depan kedutaan Singapura, Jakarta dan konsulat jeneral Singapura di Medan pada Jumaat lalu.

Shanmugam berkata apa yang dinyatakan ada konteks persamaan dengan serangan 9/11, dan bahawa Singapura diterajui oleh pemimpin bukan Islam, maka itu wajar bagi negara itu dan semua kepentingannya diserang.

Berdasarkan premis itu, Shanmugam berkata perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan, lapor CNA.

Perkara itu juga telah memberikan publisiti meluas bagi Somad, kata Shanmugam. “Dia menggunakan publisiti secara maksimum dan dia (sedang) kini, pada pandangan saya, terlibat dalam lebih banyak aksi publisiti”.

Pendakwah itu juga telah mengulas dalam video YouTube bahawa dia akan terus berusaha untuk ke Singapura, kerana menurutnya Singapura adalah sebuah negara Melayu yang serupa dengan wilayah asalnya di Riau.

Bagi Shanmugam tanggapan pendakwah itu bahawa Singapura bukan sebuah negara berasingan telah menaikkan sentimen pengikutnya.

-BTS Media

Leave a Comment