Polis akan meningkatkan rondaan di Kemensah Height, Hulu Klang, susulan tular mesej dan audio orang awam terserempak harimau dalam aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak, berkata setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung insiden itu, malah tiada saksi tampil untuk memberikan keterangan.
“Pihak polis juga menyeru orang ramai yang melihat atau tahu tentang maklumat ini agar tampil untuk memberikan kerjasama,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Farouk berkata, susulan daripada maklumat tersebut, pihaknya telah ke tempat kejadian bagi menyiasat dakwaan terbabit.
Beliau berkata, siasatan awal tengah hari tadi, mendapati pihak penduduk setempat telah dimaklumkan oleh pengawal keselamatan yang mengatakan terserempak seekor harimau, berdekatan tiang lampu jalan di Jalan Tropika, Kemensah 3, Kemensah Height.
“Sehubungan itu, pihak polis telah menghubungi Jabatan Perhilitan Selangor untuk membantu usaha mengesan harimau terbabit.
“Jam 4 petang tadi, pihak Jabatan Perhilitan Selangor yang sampai ke tempat kejadian dan sudah berusaha menjejak harimau terbabit, tetapi tidak berjaya memandangkan maklumat diperolehi tidak lengkap. Pihak Perhilitan masih lagi berada di tempat kejadian dalam usaha mengesan harimau terbabit,” katanya
Beliau berkata, pengawal keselamatan yang didakwa terlihat harimau itu dikatakan seorang warga asing dan merupakan pengawal sementara di kawasan kejiranan berkenaan.
Katanya, tiada maklumat lanjut diperoleh berkaitan pengawal itu dan sehingga kini dia belum dapat dikesan.
Beliau berkata, pihak Zoo Negara juga telah mengesahkan tiada kes harimau terlepas dari zoo itu.