Seorang pemandu treler yang membawa muatan dokumen keselamatan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) maut apabila kenderaan dipandunya terbabas di Jalan Duta hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Sarifudin Mohd Salleh, berkata treler dalam perjalanan dari arah pusat bandar menuju ke plaza tol Jalan Duta hilang kawalan, sebelum melanggar batu pembahagi jalan.
“Dalam kemalangan itu pemandu berumur 47 tahun maut di lokasi kejadian dan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.
“Pada jam 4 petang, kerja pengalihan kontena treler telah selesai dijalankan dan laluan dibuka sepenuhnya bagi kenderaan. Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, beliau berkata dalam kejadian yang sama seorang anggota polis turut tercedera semasa menjalani tugas mengiring treler tersebut dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
-BTS Media