BTS Media

Permit Import (AP) masih perlu untuk beras

GAMBAR ATAS: BTS Media.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Permit import (AP) masih diperlukan untuk mengimport beras.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) pada Khamis (19 Mei), AP untuk pengimportan beras masih lagi berkuat kuasa.

Bagaimana pun, AP untuk mengimport kobis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan ayam dan ayam bulat) dan susu cair dimansuhkan serta-merta.

Kenyataan ini menyusul selepas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob semalam (Rabu 18 Mei) mengumumkan pemansuhan AP bagi pengimportan bahan makanan.

Sebelum ini, AP diperlukan untuk mengimport kelapa, mangga, betik, beberapa jenis sayuran, daging dan sembilan jenis makanan laut.

Menurut Mafi, walaupun AP tidak lagi diperlukan untuk mengimport bahan makanan dari luar negara, namun pengimport masih perlu memiliki “permit import” (IP) untuk tujuan kawalan bio-sekuriti di pintu masuk negara.

Ia bagi memastikan kawalan bio-sekuriti dan produk yang diimport bebas daripada penyakit dan perosak serta diperoleh daripada sumber yang diiktiraf kerajaan.

-BTS Media

Leave a Comment