BTS Media

KBS harus sokong ‘Karate Kids’, kata bekas menteri

Seorang bekas menteri meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi bantuan kewangan kepada pasukan karate persendirian Malaysia yang mengecap kejayaan pada kejohanan antarabangsa baru-baru ini.

Bertanding di Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa Perancis pada 8 Mei, pasukan sembilan anggota yang digelar “Karate Kids” itu membawa pulang satu pingat setiap seorang, termasuk pingat emas yang dipercayai pertama negara pada kejohanan global.

Pasukan daripada Persatuan Okinawan Shorin-Ryu Sei-bu-kan Karate Do Antarabangsa Malaysia (IOSSKAM) itu pergi ke Paris atas kredit dengan bantuan agensi pelancongan tempatan.

Bekas menteri sumber manusia M Kula Segaran berkata, KBS perlu membantu dengan beberapa bentuk sokongan kewangan bagi penggiat sukan karate itu, terutamanya berdasarkan rancangan mereka untuk bersaing dalam kejohanan di Amerika Syarikat dan Itali.

“Kerajaan patut menghargai atlet-atlet ini atas mentaliti jaguh mereka serta keazaman dan kecemerlangan mereka. KBS mesti segera mencari cara untuk membantu mereka mencapai tahap lebih tinggi,” kata Kula dalam kenyataan.

“Kerajaan juga harus melihat bagaimana untuk membantu mereka mencapai impian bersaing di AS dan Itali kerana mereka masih berusaha mengumpul dana.

“Malah perbelanjaan mereka untuk kejohanan di Perancis patut dihapus kira susulan kejayaan menakjubkan mereka.”

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu juga menggesa KBS supaya bersikap proaktif bagi mengenal pasti bakat dalam pelbagai bidang bagi membawa pembangunan sukan yang saksama.

Sambil menyifatkan pencapaian pasukan itu di Perancis sebagai “pembuka mata”, Kula berkata, ia amat mengagumkan kerana mereka berjaya melakukannya tanpa sebarang tajaan daripada KBS, agensi kerajaan mahupun organisasi swasta.

Selain tuan rumah Perancis, pasukan tersebut menentang pasukan handal lain seperti dari Jepun dan Itali dalam kejohanan melibatkan 12 negara itu.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/05/18/kbs-harus-sokong-karate-kids-kata-bekas-menteri/

Leave a Comment