GAMBAR ATAS: Aziz A. Shariff
Keadaan Jalan Gerik-Jeli yang ditimbulkan oleh orang ramai kerana dikatakan tidak terurus dan berbahaya adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, bukan negeri, kata Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad.
Beliau berkata pengguna jalan raya tersalah anggap bahawa tugas menyelenggarakan laluan yang juga terletak dalam negeri itu adalah tanggungjawab kerajaan Perak, lapor Bernama.
Saarani menjelaskan bahawa ramai yang tidak menyedari kedudukan sebenar jalan raya tersebut, sama ada jalan negeri atau jalan persekutuan.
Menurut beliau lagi, peruntukan penyelenggaraan bagi negeri itu adalah untuk jalan negeri sahaja, dan terdapat peruntukan berasingan daripada Putrajaya untuk penyelenggaraan jalan persekutuan.
Menjelaskan demikian pada satu majlis semalam, Menteri Besar itu berkata dana negeri tidak boleh digunakan bagi mengurus jalan persekutuan dan sebaliknya.
Beliau merujuk kepada tanggungjawab kerja pembaikan atau penyelenggaraan jalan sebagai di bawah bidang kuasa kementerian kerja raya.
Saarani mengulas isu yang dibangkitkan melalui media sosial oleh pengguna jalan raya bahawa laluan Gerik-Jeli berada dalam keadaan teruk dan sekali gus boleh membahayakan keselamatan mereka.
Tambah beliau perkara itu telah dikemukakan kepada perdana menteri pada Februari.
-BTS Media