BTS Media

Mira Filzah kini bergelar ibu

GAMBAR ATAS: Mira Filzah dan Wan Emir bakal memulakan fasa kehidupan sebagai ibu dan ayah.

 

Oleh Khadijah Ibrahim

Pelakon Mira Filzah selamat melahirkan anak sulung lelaki di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada pukul 3.40 pagi Selasa (10 Mei 2022) bersamaan dengan 9 Syawal 1443.

Khabar gembira itu dikongsi suaminya, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar menerusi Instagram miliknya (@wanemirastar) dan Mira (@mfmirafilzah).

Wan Emir turut memberitahu bahawa tarikh kelahiran anak lelakinya itu sama dengan tarikh lahir Mira jika mengikut kalender Islam.

“Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT Pencipta sekalian alam, serta selawat ke atas junjungan mulia Baginda Nabi Muhammad SAW kerana isteri syurgaku Nur Amirah Filzah binti Badioezaman telah selamat melahirkan putera sulung kami pada tarikh sama seperti ibunya iaitu pada tarikh 9 Syawal, bersamaan 10 haribulan 5 tahun 2022 pada jam 3.40pagi,” beritahunya di Instagram.

Mira Filzah selamat melahirkan anak sulung lelaki, pagi ini, 10 Mei 2022.

Wan Emir juga memaklumkan yang isteri dan bayi mereka berada dalam keadaan sihat dan mengucapkan terima kasih atas doa orang ramai terhadap Mira sebelum ini.

“Putera kami yang bergema nyaring tangisannya berada dalam keadaan sihat, di samping ibunya yang juga dalam keadaan sihat walafiat.

“Kami mengucapkan jazakallahu khairan dan jutaan terima kasih kepada semua atas doa dan harapan yang telah dicurahkan ke atas perjalanan kami sekeluarga ini, moga segala kebaikan buat kalian semua juga,” katanya.

Mira dan Wan Emir, anak kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu mendirikan rumah tangga pada 3 September 2020.

Selain berlakon, Mira juga seorang pengacara untuk program Nona dan kebanyakan drama lakonannya mendapat sambutan hangat, antaranya, Cinta Si Wedding Planner, Lelaki Kiriman Tuha, Sweet Dreams, Pujaan Hati Kanda dan banyak lagi.

-BTSMedia

Leave a Comment