BTS Media

Tentera Sri Lanka pindahkan Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa

GAMBAR ATAS: Kenderaan yang dibakar dalam rusuhan seharian di Colombo/Foto: Daily Mirror Sri Lanka.

 

Demi keselamatan, Perdana Menteri Sri Lanka Mahinda Rajapaksa terpaksa dikawal tentera untuk dipindahkan keluar dari kediaman rasminya di Colombo pada Selasa.

Ini kerana beribu-ribu penunjuk perasaan cuba merempuh pinta utama kediaman yang dikenali sebagai ‘Temple Trees’ itu.

Media melaporkan bahawa penunjuk perasaan yang cuba memecah masuk ke bangunan dua-tingkat di mana Rajapaksa dan keluarganya berada, turut melontar sekurang-kurangnya 10 bom petrol.

Seorang pegawai keselamatan berkata satu operasi dilancarkan sebelum subuh untuk memindahkan perdana menteri bersama keluarganya ke tempat lebih selamat.

Menurut pegawai itu polis menembak gas pemedih mata dan melepaskan tembakan amaran ke udara untuk menahan perusuh merempuh ketiga-tiga pintu masuk ke bangunan era penjajah itu.

FOTO: Daily Mirror Sri Lanka.

Pemindahan Rajapaksa ke lokasi yang tidak diketahui adalah berikutan protes ganas di mana lima orang, termasuk seorang ahli parlimen, terbunuh dan hampir 200 cedera.

Berpuluh-puluh kediaman penyokong setia Rajapaksa juga diserang dan dibakar

Selain ‘Temple Trees’ berpuluh-puluh kediaman penyokong setia Rajapaksa juga diserang dan dibakar di serata negara, sementara perintah berkurung dan darurat terus dikuatkuasakan di negara itu.

Undang-undang darurat yang diisytiharkan oleh Presiden Gotabaya Rajapaksa, adik kepada perdana menteri, memberikan kuasa menyeluruh kepada tentera.

Penunjuk perasaan yang disokong rakyat menuntut peletakan jawatan kedua-dua mereka berikutan krisis ekonomi terburuk di negara itu.

Mereka menyalahkan perdana menteri kerana menghasut penyokong kerajaan supaya menyerang penunjuk perasaan tidak bersenjata semalam, justeru mencetuskan serangan balas.

-BTS Media

Leave a Comment