BTS Media

Nazri tak setuju PRU awal kerana Agong mahu kestabilan seperti sekarang

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz sekali lagi membantah diadakan pilihan raya umum awal kerana ia tidak selari dengan kemahuan Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kestabilan negara dan kerajaan.

Beliau memberitahu Astro Awani bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memimpin kerajaan dengan baik dan tidak ada keperluan untuk Parlimen dibubarkan segera.

Nazri seterusnya memberi amaran bahawa pengundi akan menghukum UMNO kerana mengganggu kestabilan sekarang jika parti itu mahu supaya Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata mereka tidak sepatutnya hanya bercakap tentang titah Raja apabila ia memberi manfaat kepada diri, tetapi berpura-pura melupakannya apabila tidak.

Oleh itu, mereka perlu ingat bahawa apa yang terkandung dalam titah Yang di-Pertuan Agong ialah baginda mahukan kerajaan dan negara yang stabil.

Desak supaya PRU15 diadakan sekarang hanya menunjukkan UMNO cuba menggulingkan orangnya sendiri

Menurut Nazri jika apa yang dititahkan baginda tidak dipatuhi maka benarlah apa yang orang cakap bahawa mereka hanya mahu mengganggu kestabilan yang dicapai sekarang.

Bekas menteri undang-undang itu menambah bahawa dengan mendesak supaya PRU15 diadakan sekarang akan hanya menggambarkan bahawa UMNO sedang cuba untuk menggulingkan orangnya sendiri sebagai Perdana Menteri, kerana Ismail Sabri adalah salah seorang daripada tiga naib presiden UMNO dan juga calon perdana menteri parti itu untuk PRU15.

Ramai dalam kalangan pemimpin UMNO menggesa supaya PRU15 diadakan sebaik sahaja memorandum persefahaman kerajaan dengan Pakatan Harapan berakhir pada 31 Julai, atau lebih awal lagi.

Antaranya, termasuk timbalan presiden UMNO Mohamad Hasan yang berkata masa terbaik untuk parti itu bertanding dalam pilihan raya umum ialah sebelum suku ketiga tahun ini.

-BTS Media

Leave a Comment