GAMBAR ATAS: Penampilan Vida di dalam video muzik Muah Muah Raya.
Oleh Khadijah Ibrahim
Selepas Kelepok Raya dendangan Datuk Seri Aliff Syukri menjadi tular kerana kontroversi, kini usahawan kosmetik Datuk Seri Vida juga dilihat tampil dengan konsep yang sama.
Nama mereka tidak pernah lekang daripada kontroversi setiap kali tampil dengan produk baharu kerana kedua-dua usahawan ini dikatakan bijak mengatur strategik pemasaran.
Seperti Aliff, biarpun dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKKM) untuk memberi keterangan, itu bukan satu masalah besar kerana dia tampil memberi kerjasama.
Dalam kekecohan tentang video muzik Kelepok Raya yang dikatakan mempamer unsur LGBT dan mendapat kecaman pelbagai pihak, Aliff masih tetap boleh berbangga kerana video muzik yang dimuat naik di saluran YouTube Rusa Music itu trending mencecah 2 juta tontonan dalam masa 12 hari.
Begitu juga dengan Vida atau nama penuhnya Hasmiza Othman, 51, yang tampil dengan lagu Muah Muah Raya, ciptaannya bersama Amy Ukays.
Video muzik yang dimuat naik sejak 29 April lalu di saluran DSV Entertainment mendapat jumlah tontonan sebanyak 326K. Apa kata kita dengar penjelasan Vida tentang muzik video Muah Muah Raya.
Apa yang membuatkan DSV (Datuk Seri Vida) nak keluarkan lagu raya pada tahun ini?
Saya keluarkan lagu raya tahun ini untuk dapatkan balik mood raya setelah sekian lama tak boleh beraya. Lagu raya saya tengok boleh menjadikan keriangan dan kegembiraan kepada semua umat.
Adakah nak lawan Datuk Seri Aliff Syukri?
Tak ada nak lawan-lawan dengan Datuk Aliff. Kita nombor satu, Datuk Aliff nombor berapa? Tak ada istilah lawan, Datuk Aliff terpelanting.
Lagu dah best, tapi netizen kata (berdasar komen), video muzik macam ada unsur-unsur LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender) sama macam Aliff Syukri juga?
Lagu sedap dan saya buat konsepnya seperti persembahan dengan ala-ala saya menghiburkan Cik B, Kacak dan semuanya. Jadi saya masuk dalam video tu, jadi tak mungkin buat persembahan biasa-biasa, jadi persembahan agak luar biasa sikit.
Mereka itu penari profesional dan akhirnya saya alah sudah. Bukannya saya nak sangat pun tapi saya nak buat satu kelainan dalam persembahan itu.
Kenapa solekan begitu, mula-mula tengok terkejut. Apa konsep video muzik Muah Muah Raya?
Solekan begitu sebab saya nak cari kelainan, kalau biasa-biasa artis lain dah buat. Ada 17 artis buat lagu raya, ke mana lagu-lagu raya itu, tak ada semangat ke mana pun jadi sebab itulah saya bawakan kelainan.
Bila penggambaran, berapa lama dan kos untuk video muzik ini?
Penggambaran dalam 10 hari lalu dan kos untuk buat video muzik itu RM120,000. Memang penat keluar pitih.
DSV harap berapa jumlah tontonan di YouTube?
Tontonan di YouTube, sudah tentu saya harapkan ramai orang menonton tapi promosinya saya nak tengok organiknya. Betul-betul semangat raya ini, saya tak ada buat kontroversi apa pun. Tapi harap penonton dapat kongsikan dengan seisi keluarga tengok video muzik saya.
Ada harapan lagu ini disiarkan di corong radio ke?
Kita dah lantik Seventeen Eleven Music untuk edar lagu di stesen radio semua, harap mereka buat kerja dan boleh didengar di radio-radiolah.
Penari-penari tu lelaki atau perempuan sejati? DSV dah bersedia ke kalau dipanggil SKMM sebab tampilkan lelaki berpakaian seperti wanita.
Mereka tu adalah penari dan saya tak tahu (gender) sebab mereka mari dah siap dan menari di belakang saya. Lagipun kita kekurangan masa dan menari sajalah.
Apa perasaan DSV melihat reaksi penonton terhadap video muzik arahan Kel Wen ini?
Dalam tempoh empat jam dimuat naik kita dah dapat 150,000 yang menonton dan saya harapkan mereka enjoy dengan muzik video raya ini dan tengok effort yang saya buat ini.
-BTSMedia