BTS Media

Rakam video Tik Tok serbuan: Tindakan ke atas anggota polis bergantung siasatan

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Sebarang tindakan terhadap pegawai polis yang membuat video TikTok ‘live’ semasa serbuan ke sebuah pusat hiburan, akan bergantung kepada laporan penuh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pegawai berpangkat Asisten Supt (ASP) wanita berkenaan bertugas di jabatan itu dan berpangkalan di ibu pejabat polis persekutuan.

Beliau memberitahu satu sidang media di Bukit Aman Kuala Lumpur pada Isnin (25 April) bahawa arahan berhubung penggunaan peribadi media sosial oleh anggota polis telah dikeluarkan pada Mei 2014, Ogos 2020 dan Februari 2021.

Ayob berkata beliau tidak akan berkompromi mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan yang terlibat dalam salah laku, tanpa mengira pangkat.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata JIPS telah diarah menyiasat video tular seorang anggota polis wanita membuat video TikTok secara langsung semasa serbuan di sebuah pusat hiburan.

Beliau telah mengarahkan JIPS bertindak, termasuk mengambil keterangannya tentang kejadian itu, bagi mengetahui tujuan dan matlamat rakam video berkenaan dibuat.

Dalam video 38 saat itu, pegawai polis wanita berkenaan menjelaskan skop kerjanya, termasuk melakukan serbuan dan pemeriksaan.

Beliau kemudian menyatakan rasa terkejut kerana video itu ditonton secara langsung oleh lebih 1,400 pengikut dan beliau berharap akaun TikToknya akan diikuti oleh lebih 100,000 pengikut.

Tindakannya telah mencetuskan kemarahan orang ramai kerana mengambil kesempatan daripada operasi untuk mempromosikan akaun TikToknya.

Polis DiRaja Malayisia (PDRM) pada Ogos 2020 telah mengeluarkan arahan melarang pegawai dan anggotanya daripada berkongsi di media sosial semasa beruniform bagi mengelakkan tanggapan buruk terhadap pasukan polis.

-BTS Media

Leave a Comment