BTS Media

Khairy sedia disoal siasat berhubung pembelian vaksin, jika ada bukti

 

Oleh Fetty Rara

Khairy Jamaluddin berkata beliau akan bekerjasama sepenuhnya dengan sebarang siasatan dakwaan bahawa beliau mendapat keuntungan daripada perolehan vaksin sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Kesihatan itu berkata beliau sudah memberikan kenyataannya kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen mengenai perkara itu dan bersedia dipanggil untuk disoal siasat semula dengan syarat penuduhnya boleh menunjukkan bukti.

“Saya tiada masalah, sesiapa pun boleh menuduh saya, tetapi mesti ada bukti. Jika ada bukti sila siasat,” katanya kepada Mingguan Malaysia, akhbar harian Melayu Utusan Malaysia edisi Ahad.

Khairy berkata beliau telah menyerahkan dokumen berkaitan kepada PAC, termasuk harga yang dibayar untuk vaksin dan sebab pemilihan dibuat.

“Jawatankuasa boleh membuat kesimpulan selepas saya menunjukkan semua dokumen bahawa pengurusan dan juga perolehan vaksin dilakukan dengan baik dan teratur,” katanya.

Khairy adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika itu dan diberi tanggungjawab untuk mengendalikan PICK sebelum tugas diserahkan kepada Kementerian Kesihatan pada November (Khairy dilantik sebagai Menteri Kesihatan dalam Kabinet baharu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ogos).

PAC memulakan pendengaran mengenai perolehan vaksin pada 5 Jan tahun lepas dan memanggil menteri kesihatan ketika itu Dr Adham Baba, Khairy dan pegawai lain untuk memberi taklimat kepada jawatankuasa berkenaan.

Pada 2 Ogos, ketika sidang khas parlimen di tangguh kerana Covid-19, PAC membincangkan perkara itu sekali lagi.

Kali ini, Dr Adham dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipanggil untuk memberi taklimat kepada PAC. Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Pengarah Bahagian Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan Dr Roshayati Rusli turut hadir.

-BTS Media

Leave a Comment