BTS Media

Anwar akan batalkan watikah Ramanan jika ada bukti rasuah

PAKATAN Harapan (PH) sedia membatalkan watikah pencalonan R Ramanan bagi Parlimen Sungai Buloh sekiranya terdapat bukti beliau melanggar undang-undang dan terbabit rasuah.

Bagaimanapun, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hingga hari ini tiada bukti dan fakta yang membabitkan Ramanan dengan perkara itu.

“Sebarang tuduhan perlu disertakan dengan bukti dan fakta yang kukuh. Semua calon kita (PH), saya telah semak dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), setakat yang saya mampu.

“Persepsi orang cakap (terhadap Ramanan) itu lain. Baru-baru ini pun ada orang cakap, saya ejen Israel, kita tak boleh sokong Anwar kerana dia LGBT, ejen Amerikalah, dan banyak ejen lain.

“Saya pertahankan (Ramanan) walaupun ada soalan-soalan (berbangkit), dan ini kita semak semula dan ambil perhatian, tetapi tiada (bukti). Yang ada pun dulu dia MIC, itu sahaja, tetapi beliau lawan UMNO,” katanya pada syarahan perdana ‘Ada Apa Dengan Korupsi’ di sini, hari ini.

Anwar yang juga calon PH Parlimen Tambun berkata, jika ada bukti dan fakta, kemukakan kepadanya dan beliau akan membatalkan pencalonan Ramanan.

“Saya akan batalkan, kerana sebelum saya tandatangani watikah ini, saya kena ada pengetahuan yang jelas bahawa ini tidak akan menjejaskan PH dan PKR.

“Oleh kerana orang bertanya, saya tunggu, tapi setakat saya (terima) hanyalah bisik begitu, bisik begini, tiada bukti dan saya percaya beliau akan menang di (Parlimen) Sungai Buloh,” katanya.

Ditanya mengenai status pengisytiharan hartanya, Anwar berkata, beliau telah menandatangani akuan bersumpah (SD) berhubung pengisytiharan harta pagi tadi.

“Pengisytiharan harta ini telah siap beberapa hari lalu, tetapi SD ini ada bersama peguam, jadi saya baru tandatangan pagi tadi,” katanya.

Semalam Anwar mengesahkan beliau telah membuat pengisytiharan harta sebagai syarat ditetapkan partinya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menjelaskan, kelewatan berbuat demikian adalah kerana jadualnya padat.

Semakan yang dibuat hari ini mendapati Anwar telah memuat naik dokumen pengisytiharan hartanya iaitu nilai aset bersih berjumlah RM11,178,667.80.

“Sudah, sudah, selesai sudah, cuma tempoh hari saya belum tanda tangan, saya belum pulang ke Kuala Lumpur. Selesai dah tiada masalah,” jawab calon PH bagi Parlimen Tambun itu ketika diminta mengulas status pengisytiharan hartanya.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/11/1023250/anwar-akan-batalkan-watikah-ramanan-jika-ada-bukti-rasuah

Leave a Comment