Oleh Yusoff A. Shariff
Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersedia memberikan kerjasama dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penjualan sebidang tanah yang asalnya untuk cadangan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.
Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata beliau tidak mempunyai apa-apa yang perlu disembunyikan dan mahu SPRM menyiasat perkara itu secara menyeluruh bagi memastikan kebenaran berhubung penjualan tanah itu kepada syarikat swasta.
Beliau memberitahu media semalam (Jumaat 22 April) bahawa beliau tidak mahu memberi komen tentang kes tersebut kerana SPRM sedang melakukan siasatan.
Pada April 18 lepas, pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata lagi 10 individu telah dipanggil untuk membantu siasatan.
SPRM bertindak setelah menerima aduan rasmi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Manjoi, Asmuni Awi pada 6 April lalu.
Empat bekas Exco kerajaan negeri Perak semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), termasuk Asmuni meminta SPRM menyiasat dengan terperinci isu berkenaan kerana mendakwa ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco atau Lembaga Pengarah PKNP ketika itu.
Bagaimana pun, Menteri Besar Saarani Mohamad berkata, tanah itu dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan PH kerana di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) ia dirizabkan kepada Perbadanan Kemajuan negeri Perak (PKNP) bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa.
-BTS Media