BTS Media

Cinta Sampai Mati lonjak nama Raffa Affar

GAMBAR ATAS: Raffa Affar popular kerana lagu Cinta Sampai Mati.

 

Oleh Khadijah Ibrahim

Kalau anda nyanyikan bait “Dengarkanlah…Di sepanjang malam aku berdoa…Bersujud dan lalu aku meminta… Semoga kita bersama….”

Pasti akan ada yang menyambung menyanyikan lagu tersebut kerana Cinta Sampai Mati ketika ini adalah lagu yang paling melekat di hati pendengar dan terngiang-ngiang di telinga.

Lagu ciptaan dan lirik oleh Ayu Rizki Yani, isteri kepada pemain gitar Kangen Band, Dodhy Hardianto ini tular di TikTok.

Cinta Sampai Mati bukan sahaja tular sebab sedap didengar dan lirik menarik, tapi juga dialam kalangan netizen tertanya, siapa sebenarnya penyanyi asal lagu ini.

Suara Raffa Affar yang mendayu itu membuat ramai terpikat dengan lagu Cinta Sampai Mati.

Lagu Cinta Sampai Mati yang sering diguna pakai oleh pengguna TikTok adalah lagu dendangan Raffa Affar atau nama sebenarnya Raffa Aldiansyah yang berusia 20 tahun itu.

Sebenarnya lagu asal Cinta Sampai Mati adalah nyanyian Kangen Band yang didendangkan oleh vokalisnya, Andhika. Ala! Kalau di Malaysia orang ingat lagu, Ku Ikhlaskan adalah lagu asal dendangan Ara Johari, sedangkan ia milik Datuk Seri Vida.

Tak kisahlah siapa penyanyi asal lagu Cinta Sampai Mati, apa yang pasti lagu tersebut berjaya melonjak nama Raffa yang sering membuat ‘cover song’ lagu hit di saluran YouTube @Raffa Badri29.

Setiap lagu dendangan semula oleh Raffa mendapat tontonan yang tinggi.

Pemuda kelahiran Depok, Jawa Barat yang mempunyai empat juta pengikut di TikTok itu mengaku sudah lama ingin mempunyai single original sendiri.

Akhirnya, single Cinta Sampai Mati dendangan Raffa diterbitkan di bawah label Hayat Kreatif Studio untuk pasaran Malaysia, Brunei serta Singapura, manakala untuk pasaran di Indonesia dan lain-lain negara dilancarkan di bawah label muzik Botram Media Entertainment.

Raffa Affar sering menyanyikan semula lagu hit dengan gayanya yang tersendiri.

Lagu ini antara single pertama kolaborasi Hayat Kreatif Studio dengan Botram Media Entertaintment. Untuk single perdana ini, Raffa telah cuba hasilkan genre muzik yang sedikit berbeza dengan lagu-lagu viral.

Raffa yang memiliki jenama minyak wangi Raffa Gel dan Raffa Boy, hasil kerjasama dengan Zarome di Bandung itu berharap lagu Cinta Sampai Mati mampu memberi nuansa baharu kepada pendengar muzik.

Lagu-lagu penyanyi lain yang dinyanyikan semula dalam versi Raffa adalah Buih Jadi Permaidani, Rindu Terpendam, Hal Hebat, Ku Simpan Rindu Di Hati dan banyak lagi di YouTube.

-BTSMedia

Leave a Comment