BTS Media

Pesawat pejuang Israel serang Gaza, cetus kebimbangan berlaku konflik meluas

GAMBAR ATAS: Anadolu.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Gaza menjadi sasaran sekali lagi pada Khamis (21 April) selepas satu roket dilancarkan dari wilayah Palestin ke arah Israel.

Menurut pegawai Hamas dua kem latihan milik kumpulan yang menguasai wilayah berkenaan menjadi sasaran serangan pesawat pejuang Israel sebelum subuh, namun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

Pesawat pejuang Israel membedil sebuah pos keselamatan dan sebahagian bengkel bawah tanah yang digunakan untuk membuat enjin roket.

Terdahulu, roket yang dilancarkan ke arah selatan Israel telah mengakibatkan kerosakan pada sebuah rumah, tetapi tiada kecederaan, lapor Arab News

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan kedua dalam beberapa hari ini.

Peningkatan keganasan di Israel dan wilayah Palestin yang diduduki menimbulkan kebimbangan akan tercetuskan semula konflik lebih luas.

Sejak Mac lalu, tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 29 rakyat Palestin dalam serangan ke atas Tebing Barat, sementara beberapa serangan rambang pro-Palestin pula mengakibatkan 14 orang terbunuh di Israel.

Dalam satu kenyataan, Hamas berkata serangan Israel itu hanya akan menaikkan kemarahan rakyat Palestin untuk menentang penguasaan Israel di wilayah tersebut dan memarakkan sokongan bagi membebaskan Baitulmuqaddis dan penduduknya.

Apa yang berlaku di Kota Lama Baitulmaqdis, terutama di perkarangan Masjid Al-Aqsa menimbulkan risiko akan berulang konflik lebih meluas seperti mana yang berlaku ketika perang 11 hari Israel-Gaza tahun lalu, yang membunuh lebih 250 rakyat Palestin dan 13 penduduk Israel.

Ketegangan pada Ramadan tahun ini berlaku apabila ia bertembung dengan perayaan keagamaan Yahudi, Paskah (passover).

Tindakan pihak berkuasa Israel membenarkan lebih ramai penganut Yahudi memasuki kawasan Kota Lama Baitulmuqaddis dianggap oleh penduduk Arab di situ sebagai melanggar dasar sejak berabad yang membolehkan bukan Islam hanya melakukan lawatan, tetapi bukan untuk bersembahyang.

Al-Aqsa adalah lokasi ketiga paling suci dalam Islam dan juga dianggap suci oleh pihak Yahudi. Palestin mahukan Baitulmuqaddis Timur, termasuk tempat suci umat Islam, Kristian dan Yahudi, sebagai ibu kota Palestin.

Tindakan Israel merampas Baitulmuqaddis Timur semasa perang 1967 masih tidak diiktiraf dunia.

-BTS Media

Leave a Comment