Oleh Fetty Rara
Dakwaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bahawa setiap tahun kira-kira 10,000 guru memohon untuk bersara awal sejak beberapa tahun kebelakangan ini membimbangkan, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.
Keadaan ini, menurut beliau boleh menjejaskan kualiti sistem pendidikan negara.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan perlu menjelaskan kenapa ia berlaku sedangkan mereka masih boleh berkhidmat.
Dalam satu kenyataan Mohamed berkata anggaran NUTP didapati jauh melebihi anggaran kementerian  pada 9 Nov tahun lepas apabila menyebut hanya menerima sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan sendiri daripada guru mulai Januari 2021.
Mohamed berkata keadaan itu memerlukan campur tangan kementerian bagi mengekang apa yang berlaku memandangkan persaraan awal guru, khususnya yang berpengalaman dilihat sebagai kerugian besar kepada negara.
Setiausaha Agung NUTP Wang Heng Suan dalam kenyataan pada Isnin (18 April) berkata trend sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah membimbangkan kerana kebanyakan mereka terdiri daripada guru berpengalaman yang berusia awal atau pertengahan 50-an.
Beliau berkata sebilangan guru mungkin tidak lagi berminat dalam profesion itu kerana pembelajaran dan pengajaran dalam talian yang diperkenalkan berikutan pandemik Covid-19.
Mereka juga dikatakan tidak berpuas hati kerana dibebani banyak tugas luar tanggungjawab hakiki.
Wang berkata ada antara mereka juga berasa amat tertekan kerana kualiti Internet lemah hingga menyukarkan proses pengajaran dalam talian.
Beliau berkata pihak kementerian boleh mengatasi kemerosotan berkenaan dengan mengambil penolong guru untuk mengambil alih beberapa tugas mereka.
Menurut Wang kementerian telah melancarkan projek perintis pada 2019 dengan mengambil kira-kira 10,000 penolong guru secara kontrak di Kedah, Sabah dan Melaka, tetapi ia dihentikan kerana kekurangan dana.
Bagi Mohamad pula, cabaran yang dihadapi guru semasa pandemik Covid-19 boleh menjejaskan emosi dan psikologi mereka.
Ini kerana apabila mereka turut dibebankan dengan tugas perkeranian yang akhirnya mengganggu tugas hakiki sebagai guru.
Sekiranya trend ini berterusan, Mohamad berkata negara akan berdepan dengan krisis pendidikan yang lebih kritikal.
Tambah beliau, pihak Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Pendidikan perlu mendapatkan penjelasan daripada kementerian mengenai perkara tersebut kerana peranan guru dalam pembangunan negara amat penting dari segi pembentukan sahsiah dan pemikiran pelajar.
Beliau berkata sepatutnya tiada kompromi terhadap kebajikan mereka, dan dalam hal ini juga mesti ada sesuatu yang tidak kena hingga menyebabkan begitu ramai guru memilih persaraan awal walaupun mereka masih produktif.
-BTS Media