BTS Media

Laporan polis terhadap peguam kerana ciapan kes Siti Bainun

Tiga ibu yang memiliki anak orang kelainan upaya (OKU) dan mewakili tiga persatuan sindrom down membuat laporan polis terhadap peguam yang mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Mereka ialah Hanizan Hussein dari Persatuan Sindrown Down Selangor, Che Mona Din dari Persatuan Sindrom Down Malaysia dan Hairun Nizah Abd Syukor dari Kelab Bunga-Bunga Syurga.

Che Mona dalam laporan polisnya mendakwa salah seorang peguam berkenaan mengeluarkan ciapan soal balas antara peguam dan saksi dalam kes penderaan membabitkan remaja sindrown, yang dikenali sebagai Bella.

Menurutnya, salah seorang peguambela Siti Bainun yang dikenali sebagai Nur Hafidzah Hassan mengeluarkan ciapan itu di laman sosial Twitternya dan telah menimbulkan spekulasi di kalangan pengguna media sosial.

“Ciapan tersebut jelas merupakan satu penggunaan media sosial secara tidak wajar di mana ciapan-ciapan yang telah dimuatnaik di atas media sosial telah mewujudkan diskusi tentang kes yang sedang berjalan yang mana akibat daripada itu berlaku perbicaraan kes melalui media.

“Peguam Nur Hafidzah telah bertindak di dalam konflik kepentingan (memandangkan beliau juga adalah peguam OKT di dalam Kes) bagi mempengaruhi pendapat awam dan telah mencetuskan kemarahan, kegusaran dan keresahan masyarakat berkenaan prosiding kes yang masih berjalan dan belum selesai,” kata laporan polis yang dibuat Muna.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Pudu di Kuala Lumpur, pada Sabtu (16 April).

Semakan Malaysiakini di laman Twitter peguam berkenaan mendapati ciapan tersebut telah dipadam.

Sebaliknya peguam itu menulis: “Semoga lepas ni cerita-cerita dilaporkan dengan adil. Dan tiada dokumen atau fakta-fakta sebelah pihak. Itulah matlamat saya. All the best kepada rakan peguam saya”.

Sementara itu semakan di laman Facebook peguam itu pula mendapati hantaran yang memaparkan sebahagian pemeriksaan balas antara peguam dan saksi pendakwaan kelima telah disunting.

Bagaimanapun hantaran asal itu masih boleh dilihat menerusi sejarah suntingan (edit history).

Kes dera terhadap Bella mendapat perhatian dan perdebatan di media sosial apabila ramai netizen berpendapat nasib malang menimpa remaja OKU itu seolah-olah tidak diperjuangkan.

Menurut keterangan saksi di mahkamah, antara penderaan yang dihadapi Bella termasuk dipaksa makan najis sendiri, dibogelkan, diikat dan dibaringkan sebelum dicurahkan air panas berwap daripada mesin penapis air pada bahagian tertentu badan.

Siti Bainun, 30, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

https://m.malaysiakini.com/news/618281

 

Leave a Comment