GAMBAR ATAS: Pelajar Pesantren Al-Falah di Mangetan, menunaikan solat tarawih selama lapan jam/ Foto detik.com
Oleh Ahmad Abd Hamid
SEMENTARA di Malaysia masih berbahas tentang berapa rakaat solat tarawih harus dikerjakan, sama ada lapan atau 20 rakaat, di Mangetan, Jawa Timur, solat tarawih dilakukan bukan lapan rakaat ,tetapi lapan jam setiap malam.
Amalan ini dilakukan di Pondok Pesantren al-Falah di Desa Temboro, Kacamatan Karas. Masa yang lama ini diambil ini untuk membolehkan bacaan 30 juzuk Al-Quran dihabiskan setiap malam.
Memetik detik.com, pentadbir sekolah pondok itu, Eko Mahmudi, memberitahu memang menjadi tradisi sekolah pondok ini pada setiap Ramadan, solat tarawih yang didirikan akan menghabiskan bacaan 30 juzuk Al-Quran. Ini disahkan oleh Ketua Kampung Temboro, Sabar.
Kita di negara ini biasanya jika solat tarawih lapan rakaat dan witir, biasanya akan mengambil masa lebih kurang 45 minit pada kadar kelajuan bacaan biasa oleh imam. Jika imam membaca Al-Quran agak panjang, mungkin mencecah sehingga sejam atau lebih sedikit baharu selesai.
Tetapi, di pondok sekolah agama Al-Falah ini lapan jam diperlukan untuk selesai dengan solat 20 rakaat. Dengan masa begitu lama, tentunya letih juga berdiri.
Namun semua melaksanakan solat ini setiap malam tanpa rasa jemu atau penat.
Solat tarawih biasanya dimulakan selepas solat Isyak, kira-kira pukul 7 malam waktu Indonesia Barat. Apabila solat selesai kira-kira pukul tiga pagi, pelajar sekolah pondok agama itu akan terus bersahur.
Menurut Eko Mahmudi, sekolah pondok tersebut mempunyai 17,000 pelajar. Mereka yang menyertai solat tarawih pula dalam lingkungan dua hingga tiga ribu. Jemaah paling ramai pada setiap Khamis malam Jumaat.
Solat tarawih dibahagikan kepada beberapa kumpulan tertentu. Ada kumpulan yang membaca 10 dan 20 juzuk Al-Quran. Sebahagian besar jemaah terdiri daripada pelajar yang masih belum menghafal Al-Quran sepenuhnya. Kerana itu imam dan makmum dibenarkan membaca Al-Quran ketika solat.
Imam dan makmum dalam kelompok pembacaan 30 juzuk Al-Quran pula disyaratkan telah menghafal Al-Quran. Kerana itu pelajar yang berada dalam kelompok ini tidak ramai, hanya beberapa orang sahaja.
Menurut, Eko Mahmudi, oleh kerana jangka waktu lama dan bacaan panjang, setiap kumpulan solat tarawih ini mempunyai enam imam yang bergilir-gilir bertugas.
Ini bermakna setiap imam membaca purata lima juzuk seorang bagi melengkapkan bacaan 30 juzuk keseluruhannya. Pada setiap penggantian imam, ketiga-tiga kelompok tarawih berehat sebentar untuk menghilangkan penat.
Mungkin solat tarawih lapan jam ini menjadi iktibar kepada agar tidak mengeluh atau berasa penat apabila bersolat lapan rakaat. Ia hanya sebahagian kecil masa yang diambil jika dibandingkan dengan mereka di Mangetan.
-BTS Media