GAMBAR ATAS: OpenDemocracy.
Oleh Zainal AS Rashid
Pemimpin Republik Chechnya, Ramzan Kadyrov pada Isnin berkata tentera Rusia akan melancarkan serangan besar-besaran ke atas bandar raya pelabuhan Mariupol yang dikepung, selain Kyiv serta bandar raya lain di Ukraine.
Penyokong kuat presiden Rusia, Vladimir Putin itu berkata demikian dalam video yang dipostkan melalui aplikasi sosial Telegram.
Beliau berkata tentera Rusia akan ‘membebaskan’ bandar raya Luhansk, Donetsk, dan kemudian Kyiv dan lain-lain.
Kadyrov, yang dianggap sebagai ‘orang suruhan’ Putin, mendabik dada bahawa beliau memberikan jaminan tentang kemaraan tentera Rusia itu, dan berkata mereka tidak akan berundur walaupun selangkah.
Kadyrov telah berulang kali dituduh oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) kerana pelanggaran hak asasi manusia, tetapi dinafikannya.
Sebelum ini Rusia telah mencetuskan perang sebanyak dua kali dengan puak pemisah Islam di Chechnya berikutan kejatuhan kerajaan komunis Soviet Union pada 1991.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini Putin telah mencurahkan bantuan kewangan ke Chechnya bagi pembangunan semula, selain ‘membenarkan’ sedikit sebanyak kuasa autonomi kepada wilayah itu.
Rusia menyerang Ukraine di atas alasan kononnya untuk mematahkan kuasa ketenteraan dan dakwaan kebangkitan ‘nazisme’ di negara itu.
-BTS Media