BTS Media

Dua penyelam hilang diselamatkan berhampiran Pulau Tokong Sanggol

GAMBAR ATAS: Adrian Peter (kiri) dan Alexia Alexandra.

 

Oleh Fetty Rara

Dua daripada empat penyelam yang hilang di Pulau Tokong Sanggol, Mersing ditemukan selamat oleh nelayan pada kira-kira pukul 1 pagi Sabtu (9 April).

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata kedua-dua mereka – warga Britain Adrian Peter Chesters, 46 dan warga Perancis Alexia Alexandra Molina, 18 – ditemukan di perairan selatan Pengerang di Kota Tinggi berhampiran sempadan Indonesia.

Dengan ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hanya tertumpu pada warga Belanda Nathen Renze Chesters berusia 14 tahun, yang merupakan anak kepada warga British yang diselamatkan.

Menurut Supt Cyril, kedua-dua mereka ditemukan oleh nelayan tempatan yang memaklumkan polis dan kemudian dibawa oleh Polis Marin Wilayah Dua Selatan ke pantai.

Beliau memberitahu media di Jeti Awam Mersing bahawa kedua-dua mereka kini dirawat di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang dan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Supt Cyril berkata pencarian akan tertumpu di kawasan perairan selatan Pengerang untuk remaja yang masih hilang itu.

Sebelum ini, salah seorang daripada empat penyelam Eropah yang hilang pada Rabu (6 April), juruselam warga Norway Kristine Grodem, 35 diselamatkan kira-kira 20 jam selepas misi SAR dilancarkan kira-kira 55km dari tapak menyelam.

Grodem ditemui terapung, lengkap dengan pakaian selam dan peralatannya oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan ke Thailand dari Indonesia pada Khamis (7 April) pukul 8.15 pagi.

Keempat-empat mereka kali terakhir dilihat di Pulau Tokong Sanggol sebelum melakukan latihan selam skuba berhampiran pulau yang terletak sembilan batu nautika (16km) dari tanah besar Johor itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Mersing Khairul Nizam Misran berkata, jumlah aset SAR yang digunakan untuk operasi hampir adalah sama dengan Jumaat, kecuali penggunaan pesawat Bombardier.

“Lokasi SAR awal kami untuk hari ini sepatutnya dari timur Desaru sehingga tenggara Johor, tetapi kini ditukar ke tenggara Johor arah selatan Tanjung Pengelih dekat Pengerang,” tambah Khairul Nizam.

Beliau berkata semua kapal perdagangan dan kapal nelayan yang melalui kawasan itu telah dimaklumkan tentang operasi pencarian tersebut, pihak berkuasa Indonesia dan Singapura.

 -BTS Media

Leave a Comment